• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Rumah Musnah Sekelip Mata, Dua Beranak Tinggal Sehelai Sepinggang

Gayah Mohd Amin redha melihat rumahnya hangus dijilat api. Foto oleh - Syed Abdul Rahman
KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Dugaan Ramadan buat dua beranak apabila rumah mereka musnah sekelip mata dalam satu kebakaran yang berlaku di Kampung Hiliran, di sini petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, kebakaran jam 2 petang itu dipercayai berpunca daripada suis elektrik yang tidak ditutup.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati rumah berkenaan telah terbakar hampir 80 peratus namun mereka berjaya mengawal kebakaran itu daripada merebak selepas lima minit kemudian.

"Alhamdulillah, semasa kejadian rumah tidak berpenghuni, kedua-dua penghuni telah keluar dari rumah dan mereka selamat.

“Apabila bomba sampai, kebakaran telah memusnahkan lebih kurang 80 peratus rumah, dan daripada siasatan kita dengan penghuni rumah menyatakan dia terlupa menutup suis dapur sebelum keluar rumah,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, pihak bomba dan forensik masih menyiasat punca sebenar kebakaran daripada segenap aspek termasuk jumlah kerugian dialami mangsa.

Ahmad Shah bersama kakitangan MPKK dan i-MiTs turut meninjau keadaan rumah.
“Anggaran kerugian yang dimaklumkan oleh tuan rumah adalah sebanyak RM75 ribu, apapun kita akan siasat dengan lebih mendalam selepas ini,” tambah beliau ketika ditemui media selepas kebakaran.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, beliau akan bekerjasama dengan beberapa agensi lain bagi memastikan kebajikan dua beranak itu terjaga.

Mangsa kebakaran, Gayah Mohd Amin, 79, dan anaknya, Noorhayati Azmi, 27, akan menumpang di rumah anak lelakinya buat sementara waktu sehingga tempat penginapan baharu diselesaikan.

“Kita akan kaji dahulu jumlah kerugian, kemudian kita akan salur bantuan untuk baik pulih rumah tersebut, itu yang kita akan buat nanti.

“Di peringkat awal ini, kita akan gerakkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk bekalkan apa-apa keperluan yang patut, dan kita akan cari rumah yang sesuai untuk disewa kepada mereka dan akan membantu mereka,” ujarnya.
 
Mak Cik Gayah menganggap itu adalah ujian Tuhan untuk membersihkan dosa-dosanya.


Tag: