Rumah Musnah Terbakar, Enam Sekeluarga Hilang Tempat Berteduh Sehari Sebelum Aidiladha

HULU TERENGGANU, 6 Jun - Sebuah rumah separuh kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Jerlan, Ajil, di sini, pada Khamis.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I KUP) Khairul Anuar Bidin berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.26 petang.

“Seramai 16 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang dengan bantuan BBP Wakaf Tapai dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 3.42 petang, didapati sebuah rumah jenis separuh kekal berkeluasan kira-kira 60x80 kaki sedang terbakar hampir 80 hingga 90 peratus.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden ini kerana kesemua enam ahli keluarga tidak berada di rumah ketika kejadian,” katanya.

Difahamkan, pemilik rumah, Mohd Zaini atau lebih dikenali sebagai Jenin, sedang bekerja ketika kejadian, manakala isterinya berada di Kampung Machang membantu ibunya berniaga di warung pisang goreng. Tiga anak mereka juga tidak berada di rumah.

Kebakaran itu disedari jiran mangsa yang segera bergegas ke lokasi dan hanya sempat menyelamatkan sebuah kereta milik mangsa.

Menurut Khairul Anuar, jentera dari BBP Wakaf Tapai tidak dapat sampai ke lokasi kerana halangan pokok tumbang di laluan masuk. Anggota kemudian diarahkan melakukan kerja pembersihan.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.12 petang dan operasi masih diteruskan untuk proses pemadaman sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim yang turun padang menziarahi keluarga mangsa berkata, pihaknya amat bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga tersebut menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Saya sendiri sangat terkesan melihat keadaan rumah yang hampir musnah sepenuhnya. Ketika orang lain sedang membuat persiapan raya, mereka diuji dengan kehilangan tempat berteduh,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

“Insya-Allah, pihak kami sedang berusaha secepat mungkin untuk membantu membina kediaman baharu buat keluarga ini. Saya menyeru semua pihak untuk bersama-sama meringankan beban mereka,” tambah beliau.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh berhubung dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Jerlan atau Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ajil.


Tag: