• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Rumah RM180 Ribu Dijual Hanya RM54 Ribu

BESUT, 24 Januari - Percaya atau tidak, sebuah rumah dengan kos RM180 ribu akan dijual pada harga RM54 ribu sahaja.

Itulah harga yang dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr. Azman Ibrahim bagi Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) di Beting Lintang, di sini.

Jelasnya, sebanyak 50 buah kediaman bakal dibina dalam projek berkenaan melibatkan kos sebanyak RM7.6 juta.

"Jualan tersebut melibatkan kaedah jual beli selama 25 tahun dengan ansuran bulanan serendah RM180 sebulan.

"Projek ini merupakan salah satu daripada tiga projek PSN negeri Terengganu dengan kos kira-kira RM24 juta.

“RM13 juta adalah sumbangan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), dan kerajaan negeri tambah RM11 juta untuk mencukupkan jumlahnya.

“Ini tidak termasuk biaya penyediaan tapak sebanyak RM10 juta yang turut ditanggung kerajaan negeri dan tanah diberikan secara percuma," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah PSN berkenaan di Beting Lintang, semalam.

Majlis tersebut dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II; Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh, YBM Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Terengganu, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna merangkap ADUN Kota Putera; Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia; Dato' Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Pengarah Tanah Dan Galian Terengganu; Dato' Shahidan Embok.

Sementara itu, Dr. Samsuri dalam ucapan perasmiannya berharap, pembinaan PSN akan memberikan kemudahan kepada golongan nelayan yang sangat memerlukan kediaman.

“Kita dapat melaksanakan program perumahan kediaman yang menyediakan kediaman selesa kepada nelayan.

“Hari ini adalah untuk 50 nelayan sebagai permulaan dengan dana yang ada. Walaupun penempatan ini boleh dibina bagi menempatkan sehingga 200 kediaman, tetapi kita bermula dengan 50 buah buat masa ini.

“Insya-Allah, jika ada rezeki kita cuba teroka lagi untuk melengkapkan kepada 200 buah,” katanya.

Beliau turut berharap projek yang dibina berdasarkan ciri-ciri spesifikasi Rumah Darul Iman (RAHMAN) yang patuh syariah dengan berkeluasan 800 kaki persegi merangkumi 3 bilik tidur dan 2  bilik air.

Diharapkan agar spesifikasi yang ditambah baik ini akan dijadikan ‘blue print’ atau piawaian tetap kepada agensi kerajaan atau pemaju-pemaju luar yang ingin melaksanakan pembinaan rumah mampu milik di negeri Terengganu,” katanya.

Sebanyak tiga PSN Terengganu bakal dibangunkan iaitu di kawasan Pulau Sekepeng, Kemaman (7.26 hektar), di Beting Lintang ini (7.17 hektar) dan di Penarik, Setiu (4.69 hektar) dengan 50 buah rumah bagi setiap tapak.