lightning-solid
Berita :
RUU Had Tempoh PM Kalah Undi: Salahkan Pembangkang Tindakan Tidak Matang, Kata Penganalisis
RUU Had Tempoh PM Kalah Undi: Salahkan Pembangkang Tindakan Tidak Matang, Kata Penganalisis
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
67

KUALA TERENGGANU, 4 Mac - Seorang penganalisis berpandangan bahawa tindakan pihak kerajaan menyalahkan pembangkang selepas Rang Undang-Undang (RUU) mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri gagal mendapat sokongan Parlimen adalah pendekatan yang tidak matang.

Pengawai Kanan Strategi di Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Mohd Eikhwan Ali berkata, hujah bahawa pembangkang menolak cadangan tersebut kerana tidak menyokong usaha baik kerajaan juga terlalu simplistik.

Beliau turut menimbulkan persoalan, mengapa ahli Parlimen Kerajaan tidak mengambil kira hujah Pembangkang sebelum membentangkan RUU itu, iaitu memberi ruang kepada mana-mana pemimpin yang berintegriti dan kompeten untuk terus memimpin sekiranya masih mendapat sokongan. 

“Jika seseorang Perdana Menteri termasuk PMX mempunyai integriti dan kompetensi serta masih mendapat sokongan, tidak ada sebab untuk menghadkan tempoh kepimpinannya secara rigid,” katanya dalam satu kenyataan.



Beliau berkata, dalam sistem Westminster yang diamalkan Malaysia, Perdana Menteri tidak dipilih secara terus oleh rakyat untuk tempoh tetap seperti dalam sistem presiden.

Sebaliknya ujar beliau, tempoh seseorang Perdana Menteri bergantung kepada keupayaannya mengekalkan sokongan dalam parti, Parlimen dan kalangan rakyat.

Tambahnya, jika seorang Perdana Menteri hilang sokongan politik, beliau boleh digantikan pada bila-bila masa melalui pelbagai mekanisme politik termasuk undi tidak percaya atau tekanan dalaman parti.

Untuk rekod, RUU berhubung had tempoh jawatan Perdana Menteri yang dibentangkan kerajaan sebelum ini gagal memperoleh sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan Perlembagaan memerlukan sekurang-kurangnya majoriti dua pertiga ahli Parlimen untuk diluluskan, namun cadangan tersebut tidak mencapai ambang sokongan berkenaan ketika proses pengundian berlangsung.

Kegagalan mendapatkan majoriti tersebut menyaksikan RUU berkenaan tidak dapat diteruskan walaupun ia dibentangkan oleh pihak kerajaan sendiri.

Susulan itu, beberapa pihak dalam kerajaan dilaporkan menyalahkan pembangkang kerana tidak menyokong cadangan tersebut, sekali gus menyebabkan pindaan Perlembagaan itu tidak dapat diluluskan di Parlimen.


Tag :

Artikel Berkaitan