• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Saguhati Cemerlang SPM Motivasi Timba Ilmu

MARANG, 11 Ogos - Saguhati kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diagihkan oleh Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman baru-baru ini mampu memberi motivasi untuk menimba ilmu kepada pelajar pada masa akan datang.

Tuan Faizah berkata, kejayaan pelajar SPM seramai 60 orang bagi tahun 2021 menjadi satu batu loncatan untuk terus bergerak ke hadapan dan seterusnya melangkah membina kejayaan demi kejayaan.

"Jangan lupa, dalam mencipta kejayaan dalam bidang akademik, pasakkan juga pada diri anak-anak untuk menjadi insan yang hidupnya mencari redha Allah SWT.

"Majlis ini juga bertujuan untuk meraikan anak-anak pelajar supaya terus terinspirasi untuk sentiasa menjadi muslim yang cemerlang. Disamping itu, kerajaan negeri juga sentiasa mencari inisiatif lebih-lebih lagi melibatkan isu pendidikan anak-anak Terengganu," jelasnya.

Beliau berkata selepas menyerahkan sendiri anugerah saguhati kecemerlangan itu kepada pelajar SPM di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang baru-baru ini.

Saguhati kecemerlangan itu diserahkan kepada pelajar di sekitar DUN Rhu Rendang yang mendapat keputusan cemerlang, 6A dan ke atas pada sesi tahun 2021 yang lalu.

Menurutnya lagi, anak-anak yang sudah berjaya dengan cemerlang di peringkat seterusnya agar dapat pulang semula ke negeri ini, menaabur bakti kepada ibu bapa dan Negeri Terengganu yang dicintai ini.

"Tahniah buat para ibu bapa dan guru yang tanpa jemu bersama anak-anak dalam perjuangan mereka menimba ilmu," katanya.


Tag: