• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Sahut Potensi Jadi Pusat Pembelajaran Bahasa Asing





Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu(Sahut) berpotensi sebagai pusat pembelajaran bahasa asing utama di Hulu Terengganu.

Pengetuanya, Nor Hayati Yusoff berkata, Sahut mempunyai satu keistimewaan apabila diberi peluang untuk mengenengahkan bahasa antarabangsa seperti bahasa Perancis, Jepun dan Arab.

"Ini yang nak kita kembangkan kepada dunia luar bahawa Sahut ini adalah segalanya..bukan sahaja dalam sekolah tapi boleh ke peringkat antarabangsa.

"Bahasa Jepun kita sudah terokai jauh dengan banyak kejayaan para pelajar yang terlibat saban tahun dan kita guna pakai ketiga-tiga bahasa dengan cara menguasainya,"kata.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Lawatan Kedutaan Perancis ke Sahut.

Nor Hayati berkata, pihaknya ingin menjadikan pelajarnya sebagai bintang yang punyai sahsiah tinggi dan jati diri dalam menguasai bahasa asing ini.

"Kalau Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah sokong....sebenarnya pelajar ada peluang lebih baik untuk belajar bahasa asing yang baru seperti Korea dan Mandarin supaya SAHUT boleh bersaing di persada yang lebih tinggi,"katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pendidikan daripada Kedutaan Perancis di Malaysia, Nicolas Gouletquer berkata, satu keutamaan di kedutaan Perancis adalah mempromosikan Bahasa mereka di Malaysia dalam usaha membina jambatan penghubung antara dua negara.

Katanya juga, pelbagai latihan ditawarkan untuk guru bahasa Perancis di sekolah menengah awam dengan tawaran biasiswa dan mengikuti pengajian selama tiga tahun di Perancis sebelum dapat mengajar di Malaysia.

"Kami juga menganjurkan pelbagai pertandingan beserta hadiah untuk semua sekolah yang terlibat disamping membolehkan pelajar meneroka segalanya tentang Perancis dan bukan sekadar bahasa.

"Bahasa Perancis adalah bahasa global yang dituturkan di segenap benua dan itulah yang pihak kami cuba sampaikan melalui pertandingan yang diadakan."kata Nicholas.

Beliau berkata, Mac 2017 merupakan bulan Bahasa Perancis dan pihaknya bersama 15 lagi kedutaan serta Suruhanjaya Tinggi di Malaysia termasuk Kanada, Mesir, Switzerland dan Morocco akan menganjurkan program berkaitan Bahasa Perancis dan akan menyediakan hadiah kepada pelajar yang menunjukkan kemahiran tinggi dan baik dalam penguasaan bahasa.

"Ini termasuklah latihan lanjutan kepada guru Bahasa Perancis di Malaysia untuk mengekalkan tahap kecekapan dan kemahiran tinggi dalam bahasa ini...termasuklah datang berjumpa pelajar seperti hari ini bagi meningkatkan keyakinan mereka untuk bertutur melalui interaksi yang dijalankan.

"Kita juga ada biasiswa untuk mereka menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.Contohnya kita ada Malaysia France Uni Centre (MFUC)di Kuala Lumpur untuk yang merancang melanjutkan pelajaran ke luar negara. Kita juga ada Malaysian France Institute (MFI) di Kuala Lumpur untuk kursus kejuruteraan dan sains politik,"ujarnya lagi.

Seorang pelajar yang ditemui Nur Izyan Batrisyia Mat Zaki,17, berkata, minatnya untuk belajar Bahasa Perancis timbul ketika minggu suaikenal sewaktu menuntut di Sekolah Menengah Sains Labuan dalam satu persembahan.

"Sejak melihat persembahan itu,saya mula jatuh hati dan mengambil keputusan untuk mempelajarinya dan tetap mengikutinya walaupun telah bertukar ke Sahut.

"Pada mulanya agak payah sedikit untuk mempelajarinya dan saya terpaksa menguasai vokal terlebih dahulu untuk betulkan sebutan....dalam masa enam bulan saya dah mula mahir menulis dan membaca dengan bantuan guru,"katanya.

Nur Izyan yang bercita-cita untuk menjadi guru Bahasa Perancis menyimpan azam untuk melanjutkan pelajaran dan menetap di negara itu apabila tamat pengajiannya nanti.

Tag: