Saman Anwar, Amzad Selesai Tanpa Pengakuan Salah dan Kos

KUALA TERENGGANU, 7 Mac – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menegaskan bahawa penyelesaian kes saman sivil antara beliau dan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah dipersetujui tanpa sebarang pengakuan salah, tanpa permohonan maaf dan tanpa pembayaran kos oleh mana-mana pihak.

Menurutnya, penyelesaian itu dicapai atas dasar muhibah bagi mengelakkan perbicaraan berpanjangan yang boleh memberi kesan kepada kedua-dua pihak.

“Penyelesaian ini dibuat dengan mengambil kira kepentingan semua pihak agar tidak memanjangkan isu yang boleh merugikan kedua-dua belah pihak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan laporan media yang menggunakan istilah 'kenyataan fitnah' kerana dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan, hanya dinyatakan bahawa kenyataan terdahulu ditarik balik tanpa sebarang rujukan kepada fitnah.

“Setahu saya, dalam kenyataan bersama dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, hanya disebut ‘menarik balik kenyataan’. Tidak ada perkataan ‘fitnah’. Jadi, frasa ‘kenyataan fitnah’ yang digunakan oleh media ini datang dari keputusan mahkamah mana?,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa oleh kerana kenyataan tersebut menjadi pertikaian, adalah munasabah untuk menyelesaikannya dengan meninggalkan perkara yang dipertikaikan.

“Itu sahaja, mudah,” katanya ringkas.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan komitmennya untuk terus membawa suara rakyat dan memperjuangkan kepentingan negara.

“Dengan penyelesaian ini, isu berkenaan tidak lagi relevan, dan perhatian seharusnya diberikan kepada perkara yang lebih penting demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan negara,” tegasnya.

Beliau turut menghargai sokongan yang diterima dan berharap keputusan ini dihormati oleh semua pihak demi keharmonian Malaysia

 


Tag: