• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sambutan Hari Statistik Negara Sedia Kerjaya Untuk Graduan

KUALA TERENGGANU, 23 Oktober - Sambutan Hari Statistik Negara 2023 yang dianjurkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Terengganu menampilkan sedikit kelainan apabila turut menyediakan peluang kerja buat graduan.

Menurut DOSM Terengganu dalam satu kenyataan, program anjuran bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu turut mengadakan Career, Entrepreneurship & Education Fair 2023 selama dua hari bermula 21 hingga 22 Oktober lalu.

"Karnival ini dianjurkan melalui Pusat Kerjaya, Teknousahawan dan Jaringan Pintar (PaKaT), UniSZA dan Majlis Kebolehpasaran Graduan dan Kerjaya Universiti Awam Malaysia (MyGRAD).

"Kita mahu menyediakan graduan yang mampu mengisi keperluan industri tempatan dan global seiring dengan dinamika ekonomi dan teknologi serta membangunkan bakat graduan bagi peningkatan sosio ekonomi negara yang seimbang dan mampan," ujar kenyataan itu.

Tambah DOSM lagi, karnival itu membabitkan lebih 40 majikan dan 1,000 peluang pekerjaan kepada graduan dan komuniti.

"Pihak agensi dan industri yang turut terlibat termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Securities Industry Development Corporation (SIDC), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Gleneagles Hospital, CelcomDigi, PTPTN, Perodua, Hong Leong Takaful, Asia Pacific University, Terengganu Skills Development Centre (Tesdec), XOX, pcari.my, Artiseni Sdn Bhd, dan Warnakala Studiosi.

"UniSZA merupakan Universiti Awam pertama yang membangunkan kandungan metaverse di dalam aktiviti karnival kerjaya melalui metaverse seminar bersama CelcomDigi dan permainan realiti maya.

"Pembangunan kandungan metaverse itu katanya selaras dengan Teras Pendigitalan Universiti di dalam Pelan Strategik Universiti 2023-2030," kata kenyataan tersebut.


Tag: