• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sasar 100,000 Pengunjung ke Pesta Buku Terengganu

KUALA TERENGGANU, 29 Oktober - Kerajaan negeri bersama pihak penganjur meletakkan sasaran seramai 100,000 orang pengunjung ke Pesta Buku Terengganu yang diadakan di Perpustakaan Awam Negeri di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata program tersebut berlangsung selama lapan hari bermula 28 Oktober hingga 4 November 2023.

Katanya, pelbagai inisiatif yang disediakan oleh pihak penganjur yang melibatkan banyak aktiviti dan juga kehadiran figura terkenal tanah air.

“Antara figura terkenal tersebut iaitu Amin Idris, Sukor Ibrahim, Ain Maisarah Impiana dan ramai lagi yang masing-masing mempunyai slot khas.

“Turut mencuri tumpuan kunjungan pemain Terengganu Football Club (TFC) bertemu peminat pada hari ketiga karnival berlangsung,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media selepas Menyempurnakan Perasmian Pesta Buku @PPAT 2023 bertempat di Dewan Teater Perpustakaan Awam Negeri Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Ridzuan Hashim dan Pengarah PPAT, Norliza Ismail.

Tambah Satiful, sejumlah 91 penerbit yang terdiri daripada 72 penerbit buku tempatan dan 19 penerbit luar, alat bantuan mengajar dan juga jualan alat tulis akan turut serta pada Pesta Buku ini. 

“Pelbagai genre bahan bacaan yang dijual seperti novel, komik, buku pelajaran dan bahan bacaan umum dengan harga promosi yang berpatutan.

"Antara aktiviti menarik yang diadakan adalah pertandingan mewarna bagi pelbagai kategori, pertandingan Jigsaw Puzzle (pada waktu malam), pertandingan pakaian beragam dan banyak lagi," ujarnya.

Selain itu katanya, persembahan busking, jualan makanan daripada peniaga-peniaga food truck dan Bazar PPAT turut diadakan bagi memeriahkan lagi suasana.

Beliau berharap, agar segalanya berjalan dengan lancar serta mencapai sasaran yang diinginkan oleh pihak penganjur.