• 07 Okt 2024 | 04 Rabiul Akhir 1446

Satiful Lega Peserta Terkilan RTB Di Paka Terima Geran

DUNGUN, 29 Mac - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat menarik nafas lega melihat 81 peserta tanah terkilan di kawasan Dewan Undangan Negeri berkenaan menerima geran tanah masing-masing, baru-baru ini.

“Ini merupakan program pertama yang melibatkan pemberian geran Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka dan baki-baki yang tinggal kita akan selesaikan sedikit demi sedikit dengan segera.

"Mereka ini sudah menunggu sekian lama dan telah keluarkan banyak duit sepanjang proses mengusahakannya, sekarang baru mereka dapat geran. Jadi, saya pun selesa dengan keputusan ini.

"Walaupun kerajaan negeri tidak dapat memberikan semula semua kerugian yang dialami pada 20 tahun lalu, namun para peserta dapat semula tanah mereka dan premium yang mereka perlu bayar dikekalkan pada kadar lama iaitu sekitar RM1,100 bagi satu lot, ini merupakan bantuan secara tidak langsung daripada kerajaan atas kesabaran mereka menunggu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas merasmikan Majlis Penyerahan Geran Tanah bagi DUN Paka di Dewan Sivik Paka.

Jelas Satiful yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, penyerahan geran tanah itu melibatkan 41 orang peserta dari RTB Terkilan Cherong Melintang dan 40 peserta dari RTB Terkilan Beril yang telah menjadi isu panas sejak 20 tahun lalu.

“Proses untuk bagi mengeluarkan sekeping geran terpaksa melalui banyak proses sebelum diserahkan kepada peserta.

“Tetapi beruntunglah bagi mereka yang tergolong peserta terkilan ini kerana termasuk di dalam keputusan khas kerajaan negeri yang dikatogerikan peserta terkilan 1999-2004, maka proses tidak begitu panjang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan agar peserta yang telah menerima geran dapat bekerjasama membersih kawasan, melaksanakan ukur batu lot dan sebagainya.

“Kita tidak mahu orang yang terima geran tetapi kawasan lotnya tidak terurus dan akhirnya naik semak kembali. Sebab itu, kita sarankan agar mereka menubuhkan jawatankuasa pelaksana dan berpakat sesama mereka bagi mengurangkan kos dalam mengusahakan tanah masing-masing,” tambahnya lagi.