• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

SATU Harap Pengguna Bersabar, Terus Salurkan Maklumat

KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Syarikat Air Terengganu (SATU) berharap pengguna di Kuala Terengganu dan Marang yang mengalami masalah gangguan bekalan air sejak semalam, dapat bersabar dan terus menyalurkan maklumat tentang keadaan di lokasi masing-masing kepada SATU dari masa ke masa.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir. Atemin Sulong memaklumkan, pihaknya berusaha untuk menangani masalah tersebut sebaik mungkin.

"Untuk tindakan segera, kita telah membekalkan lima lori tangki ke lokasi-lokasi terlibat untuk menampung keperluan masyarakat bagi tempoh sementara.Selain itu, kita juga telah dibantu oleh Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) yang turut menghantar lori tangkinya ke sini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sewaktu melakukan tinjauan di tapak loji SATU yang sedang dibina di Pulau Bahagia, hari ini.

Menurutnya, masalah berkenaan yang akhirnya dapat diatasi pada awal pagi semalam dan SATU telah membekalkan bekalan air ke Marang dengan penggunaan sebanyak 100 peratus manakala, bagi Kuala Terengganu dan Kuala Nerus kekal 75 peratus.

"Majoriti mula menerima bekalan pada tekanan rendah dan situasi ini akan berlanjutan berikutan loji memerlukan masa beberapa hari untuk kembali stabil.

"Sebanyak kira-kira 3,000 buah akaun di kawasan bandar pula masih belum menerima bekalan kerana masalah sumbatan angin dalam paip dan kita masih mengatasinya," jelasnya.

Beliau menyatakan, SATU terpaksa menunggu paras air tangki meningkat untuk menyelesaikan isu terbabit ditambah keutamaan mendahulukan bekalan air kepada pengguna semasa.

Jelas Atemin, isu gangguan bekalan air yang melanda sejak semalam itu sebenarnya berpunca daripada masalah teknikal gangguan tenaga elektrik yang berlaku di Loji Air Kepong 1 dan 2, dua hari lalu.

"Pada 23 Februari lalu, sewaktu program servis dilakukan, berlaku 'tripping' (pemutusan transmisi elektrik) pada sistem di dua loji berkenaan mengakibatkan bekalan air keseluruhan sistem di loji itu lumpuh sepenuhnya sekaligus menyebabkan air tangki berada pada paras minimum. 

"Kita berjaya memulihkan masalah tersebut sebelum tengahari, namun apabila ia berlaku buat kali kedua pada sebelah petang, kita terpaksa mengambil masa lebih lama untuk memulihkannya," katanya.

Loji air SATU di Pulau Bahagia yang bakal siap tidak lama lagi.

Beliau menyatakan, pihak SATU sentiasa melakukan persediaan berdepan krisis seperti ini.

Bagaimanapun, sistem loji di Terengganu yang telah berusia menyukarkan proses penukaran alat ganti.

"Kami masih menunggu alat ganti yang dijangka tiba malam ini dan insya-Allah keadaan akan kembali normal dlm beberapa hari lagi," katanya.