• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Satu Kampung Satu Padang Bola

Oleh : Amiirullah Mansor

DUNGUN, 8 September- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat berhasrat untuk mewujudkan satu padang bola di setiap kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Katanya, padang bola yang akan diwujudkan itu akan mengikut kesesuaian kawasan masing-masing selain menambahbaik padang bola yang sedia ada sebagai pusat komuniti orang muda.

“Kita sudah perhatikan beberapa kawasan yang tiada padang bola dan sesuai untuk dibangunkan kemudahan terbabit. 

“Terdapat juga beberapa buah padang bola yang sedang dibaikpulih seperti di Felda Kerteh 1, Tebing Tembah, Kampung Nyior, dan beberapa kampung lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Liga 5 Sebelah Penalti di Padang Kampung Santong, baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri berkata, pihaknya juga akan mewujudkan perlawanan bola sepak secara liga setelah isu padang ini selesai. 

“Dengan wujud kemudahan padang ini, kita boleh mengajurkan perlawanan bola sepak antara kampung di peringkat DUN, Parlimen seterusnya ke peringkat negeri," ujarnya.