• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

SATU Kemas Kini Perjalanan 'Tanker' Di Laman Web

KUALA TERENGGANU, 5 Ogos - Bagi menangani krisis air yang berlaku di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, Syarikat Air Terengganu (SATU) akan sentiasa mengemas kini maklumat perjalanan lori tangki air di laman sesawang syarikat itu untuk kemudahan penduduk setempat.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated (TI) Sdn Bhd, Dr Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, usaha tersebut merupakan antara 'emergency respon' untuk sementara waktu bagi memastikan bekalan air tidak terputus. 

"Sebanyak 16 lori tangki akan bergerak mengikut laluan yang telah ditetapkan secara berjadual bagi memudahkan penduduk terlibat untuk mengambil bekalan air.

"Selain itu, empat lori lagi akan bergerak untuk membekalkan air kepada 66 buah tangki statik yang diletakkan di kawasan-kawasan tertentu. Sebanyak 34 buah tangki lagi akan ditempatkan secara berperingkat bagi memudahkan penduduk mengambil air dari masa ke masa.

"Jadual perjalanan setiap lori akan sentiasa dikemas kini di laman Facebook SATU supaya lebih ramai dapat akses maklumat dengan kita hanya menggunakan satu sumber," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan pelan tindakan dan proses baik pulih bersama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh dalam sidang media di pejabat SATU, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Operasi Wilayah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ir. Azrul Raimee Ramli.

Dalam pada itu, Dr. Mamad menyifatkan, krisis air kali ini agak besar dan membimbangkan.

"Sebanyak lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan lebih 104 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung serta melibatkan 28,700 pengguna, ini melibatkan satu angka yang besar.

"Namun, kita berusaha sebaik mungkin mengatasinya. Dari hari pertama lagi, kita sudah bergerak untuk mengatasi masalah ini selain membekalkan air untuk kawasan-kawasan terlibat," katanya.

Beliau menganggarkan kerja-kerja baik pulih akan mengambil masa sehingga tujuh hari (11 Ogos) sekiranya proses berjalan lancar.

"Saya berterima kasih kepada pelbagai pihak yang berkerjasama membantu menyampaikan bekalan air ke kawasan terbabit. 

"Ada di kalangan individu yang menawarkan air dari telaga miliknya untuk membantu. Ini menunjukkan adanya kerjasama daripada segenap lapisan masyarakat yang bersama dalam usaha memulihkan isu ini," katanya.

Laman sesawang SATU juga boleh di akses di https://webapps.satuwater.com.my/tanker_tracker/

 


Tag: