• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

SATU Laksana Langkah Segera Tangani Bekalan Air Terputus

KUALA TERENGGANU, 1 Januari- Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd (SATU) akan melaksanakan langkah proaktif bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air yang berlaku di 11 kampung melibatkan Tangki Air Bukit Keluang.

SATU dalam satu kenyataan berkata, bekalan air terputus berpunca daripada kebocoran paip bersaiz 600 mm di dasar Sungai Besut berhampiran dengan Jambatan Kampung Lampu.

Jelas kenyataan itu lagi, kebocoran paip tersebut mengakibatkan 2,670 akaun pengguna dijangka menghadapi gangguan bekalan air bermula 1 Januari 2024 sehingga 21 Januari 2024 sementara kerja-kerja pembaikian dijalankan oleh kontraktor yang dilantik.

"Sehingga kini, sebanyak enam buah lori tangki air dan 49 buah tangki statik sedang ditempatkan di kawasan-kawasan terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini," ujar kenyataan tersebut, hari ini. 

Katanya, SATU akan memaklumkan perkembangan lanjut situasi ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi kami seperti laman sesawang www.satuwater.com.my, aplikasi MySATU, Facebook, Instagram atau boleh hubungi careline di talian 1300-88-2111 jika pengguna mempunyai sebarang pertanyaan dan aduan.

Terdahulu, kebocoran paip tersebut turut mendapat perhatian serius Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat. 

Beliau segera turun padang bagi melihat situasi dan mendapatkan maklumat, info terkini serta berbincang jalan penyelesaian berkaitan isu berkenaan. 

"Insya-Allah, kami mengharapkan isu (paip pecah) ini dapat diselesaikan secepat mungkin. 

"Semoga mereka (penduduk terlibat) tabah dan sabar dengan ujian ini, " ujar Hanafiah dalam satu hantaran di laman facebook beliau. 

Beliau turut menyampaikan bantuan air minuman atau bantuan air bersih untuk diagihkan kepada sebahagian penduduk yang terlibat dengan masalah bekalan air.