• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

DUNGUN, 24 Januari - Seorang penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura, mengalami situasi cemas apabila paras air banjir di rumahnya meningkat secara mendadak susulan hujan berterusan sejak dua hari lalu. 

Tengku Ahmad Sharil, 39, berkata pada awalnya beliau menganggap insiden tersebut seperti biasa kerana kawasan rumahnya kerap mengalami banjir setiap tahun.

Namun, kali ini keadaan menjadi semakin teruk apabila paras air mula naik dengan pantas, hampir mencapai paras dadanya dalam masa singkat.

Keadaan kawasan banjir sekitar Sura hari ini. 

"Saya sedar rumah saya sedang dinaiki air, tetapi pada mulanya saya menganggap ia seperti biasa. Namun, tiba-tiba paras air naik dengan cepat dan hampir mencapai paras dada.

"Saya kemudian meminta bantuan kepada salah seorang ahli JPKK di sini untuk membawa anak-anak saya ke tempat yang lebih selamat, sementara saya cuba menyelamatkan barang-barang lain yang masih boleh diselamatkan," ceritanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Sura Lapangan Terbang, hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Fakhruddin memaklumkan, pihaknya telah mengambil maklum situasi semasa yang berlaku dan akan menyampaikan bantuan segera kepada mangsa-mangsa terlibat.

"Kita akan cuba bantu mangsa ini melalui peruntukkan bencana DUN memandangkan hampir seluruh barang di rumah mangsa telah rosak akibat banjir ini," katanya.

Untuk rekod, PPS Balai Raya Kampung Sura Lapangan Terbang telah diaktifkan sejak petang semalam untuk memberi perlindungan dan menempatkan lapan orang mangsa setakat ini. 

PPS tersebut merupakan salah satu daripada empat PPS yang dibuka di daerah Dungun yang kini telah menempatkan 13 keluarga membabitkan seramai 53 orang mangsa secara keseluruhannya. 

 

 


Tag: