• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

SEAmEQ Tawar Lebih 100 Kekosongan Sebagai Agen Jualan Sampingan

KUALA NERUS, 9 Oktober – Syarikat Keropok ikan segera, SEAmEQ membuka peluang kepada warga dalam dan luar Terengganu mendapat pendapatan sampingan sebagai agen jualan.

Produk keluaran syarikat Maperow Sdn. Bhd. (Maperow) itu menawarkan sehingga 100 lebih kekosongan terutamanya anak tempatan dan mereka yang boleh memasarkan kudapan pelbagai perisa itu ke luar negeri.

Pengurus Pemasarannya, Nurfarzana Tajul Arifin berkata, pihaknya peka akan kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh negara melibatkan mereka yang kehilangan kerja dan punca pendapatan.

“Jadi kami sediakan ruang ini untuk semua bagi bantu mereka yang berminat berniaga pelbagai pilihan produk kami terutamanya keropok segera berasaskan isi ikan.

“Antara manfaatnya, agen boleh membeli stok daripada kami dengan harga lebih murah dan boleh menetapkan harga jualan sendiri yang bersesuaian. Ganjaran tambahan juga diberikan kepada para agen setiap bulan.

“Setakat ini kami mempunyai lebih 70 agen dalam negara dengan peratusan besar beroperasi di Kuala Lumpur, sasaran SEAmEQ akan mempunyai 200 wakil jualan pada tahun ini,” katanya ketika ditemubual pemberita, baru-baru ini.

Tambah Nurfarzana, antara contoh agen SEAmEQ berjaya adalah daripada Kelantan yang berjaya meraih hasil sehingga RM13,000 hasil jualan kira-kira 1,500 ribu paket keropok segera.

“Selain itu, tiada yuran pendaftaran dikenakan kepada mereka yang berminat, dengan modal rendah sahaja diperlukan,” katanya lagi.

Menurutnya juga, selain keropok segera lima perisa, perniagaannya turut menjual produk berasaskan ikan seperti keropok lekor, keropok keping, satar goreng dan lain-lain lagi.

Untuk maklumat lebih lanjut, boleh hubungi SEAmEQ HQ di talian 60127648528 atau media sosial; Instagram: seameqhq dan FB Page: Seameq HQ.