• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Sebar Kebaikan Menerusi Media Sosial

SETIU, 20 April - Rakyat di negeri ini digesa agar membudayakan penggunaan media sosial bagi menyampaikan mesej yang mengandungi unsur kebaikan serta mempromosikan indahnya kehidupan mengikut syariat yang telah digariskan oleh Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, sikap gemar menyebar luas perkara yang tidak tepat hanya akan mengelirukan anggota masyarakat apatah lagi perkara yang bercanggah dengan prinsip Islam itu sendiri.

"Sehingga timbul kerunsingan di pihak kerajaan apabila cerita yang tidak benar, mengarut disebarkan begitu sahaja sehingga ia berlegar-legar di kalangan pengguna media sosial.

"Paling utama sepatutnya menyebarkan bahan yang membina masyarakat ke arah kehidupan yang lebih baik serta memberi kesedaran tentang kepentingan hidup mengikut batas-batas agama.

"Kerana ia perlu dijaga dan diamalkan secara menyeluruh sama ada pada diri, keluarga, juga masyarakat dalam negeri dan negara agar terus berdaulat serta keharmonian terpelihara," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Bicara Dakwah Dan Pelancaran Irsyad 360 darjah, dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) bersama Institut Pengajian Guru (IPG) di Dewan IPG Kampus Dato' Razali Ismail, Batu Rakit, semalam.

Mohd Noor berkata, program yang diadakan berkenaan merupakan suatu insiatif yang sangat baik serta bertepatan dengan bulan Ramadan.

"Semoga program seumpama ini akan memberi manfaat serta membantu masyarakat untuk lebih menghayati serta melaksanakan ibadat dengan lebih tekun.

"Alhamdulillah YADIM dan agensi-agensi kerajaan sedang berperanan ke arah memandu masyarakat negeri ini ke arah keimanan dan ketakwaan. Semoga setiap program ini dapat disebarkan secara meluas agar dapat diikuti oleh semua rakyat," katanya.

Antara program yang diaturkan oleh YADIM sepanjang bulan ini adalah YADIM Maya, Peduli dan Interaktif dengan menayangkan video dakwah secara atas talian, fokus menyampaikan sumbangan bantuan kepada asnaf dengan kolaborasi bersama Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) serta sumbangan juadah berbuka puasa kepada asnaf, ceramah secara maya juga tahsin ibadah takzir.


Tag: