• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Sekolah Di DUN Ladang Dapat 'Durian Runtuh'

KUALA TERENGGANU, 15 September - Semua sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang mendapat durian runtuh sebanyak RM5,000 daripada Dato' Tengku Hassan Tengku Omar. 

ADUN Ladang itu berkata, sumbangan akan dimasukkan menerusi akaun bank Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah masing-masing. 

"Atas dasar kebersamaan, keprihatinan dan atas kebajikan saya mengumumkan sumbangan RM5,000 dan terserah kepada pihak sekolah dan PIBG untuk membelanjakannya," katanya. 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri berkata demikian ketika Majlis Tautan Ukhuwah YB ADUN Ladang Bersama Sekolah-Sekolah Dalam DUN Ladang di Primula Beach Hotel di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Terengganu, Jelani Sulong. 

Dalam masa yang sama, beliau juga berkata pihaknya akan terus membantu setiap rakyat tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan warna kulit.

"Setiap orang yang memerlukan akan dibantu, tiada pilih kasih.

"Kita tidak mahu membiarkan kehidupan mereka yang susah tiada perubahan, statik, mana yang berniaga kita bantu apa yang diperlukan untuk menaik taraf perniagaan mereka.

"Kita seronok melihat mereka dapat keluar daripada kemiskinan," ujarnya yang telah berkhidmat kepada rakyat selama 43 tahun bermula ketika dilantik menjadi penolong pegawai daerah.


Tag: