• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Sekolah Di Terengganu Diminta Amal Nilai Syariah Dalam Bersukan




Oleh : Zulkifli Mat

KUALA NERUS, 28 Disember - Sekolah di seluruh Terengganu diminta supaya turut menerapkan nilai syariah dalam bersukan sepertimana sedang dilaksanakan kerajaan negeri.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berkata, amalan murni dan tuntutan agama itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan melibatkan semua institusi pendidikan dan agensi di Terengganu.

Katanya, nilai syariah terutama melibatkan aspek pemakaian dan etika pergaulan itu mampu meningkatkan keimanan kepada hambaNya kepada Allah SWT, sekali gus dapat memajukan umat Islam dan memperolehi keberkatan dariNya.

"Kalaulah Azrin Nabila mampu meraih kejuaraan dan disebut sebagai ratu pecut SUKMA 2018 dalam keadaan bertudung, mengapa tidak kita lahirkan atlet Terengganu yang juga bertudung dan menutup aurat,"tegas beliau.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar PPSR Tahun 2018 Yayasan Terengganu yang
dianjurkan oleh Yayasan Terengganu dengan kerjasama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) di Dewan Sivik Serbaguna Gong Badak, Tepuh, di sini, kelmarin.


Turut hadir, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Yayasan Terengganu, Dr Hashim Azmi Che Nuh, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus, Tengku Azelam Tengku Abdullah dan Timbalan Pengarah iMiTS, Raja Arizal Raja Arif.

Seramai 75 orang pelajar cemerlang  Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) 2018 dalam Parlimen Kuala Nerus menerima sumbangan tersebut.

Hishamuddin juga berharap agar wujud kerjasama erat antara pihak guru dan ibu bapa dalam memperkasakan aspek pendidikan kerana hubungan baik itu mampu membentuk suasana yang sejahtera dan menyelesaikan pelbagai isu berkaitan pelajar.

"Guru merupakan tunjang kepada sesuatu pembangunan dan berperanan untuk mendidik, memimpin pelajar untuk menjadi insan yang berguna.


"Sebagai seorang bergelar pelajar, kita mesti menjadikan diri kita sebagai pelajar yang cemerlang, beriman serta menjadi anak yang soleh, insyaAllah akan berjaya di dunia dan juga di akhirat,"tambah beliau lagi.

Beliau juga berpesan supaya pelajar yang berjaya dalam akademik meneruskan kejayaan di peringkat kerjaya serta menjadi insan yang memberi manfaat kepada masyarakat, agama dan negara.



Tag: