• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Sekolah Menengah Teknik Terengganu Harum Nama Negara Di Mata Dunia


KUALA NERUS, 2 Julai - Terengganu terus mengungguli carta dalam bidang pendidikan apabila Sekolah Menengah Teknik Terengganu (SMTT) mengharumkan nama negara dengan kemenangan pingat emas di pertandingan 'International Science and Invention Fair' di Bali, Indonesia.

Pertandingan yang berlangsung pada 21 hingga 25 Jun itu berjaya menjadi platform pelajar SMTT menonjolkan potensi diri mereka di peringkat antarabangsa sekali gus membuktikan keupayaan anak Terengganu di persada dunia.

‘Flat Earth Smart Kit’ hasil ciptaan lima pelajar iaitu Zureen Sofea Zairon, 16, Khairul Adha Azmin Arifin, 16, Muhammad Amir Hakim Radin, 16, Wan Muhammad Haikal Wan Kamri, 16, dan Muhammad Muqarrabin Muhammad Rushdi, 16, berjaya menerima pengiktirafan pingat emas dan menewaskan wakil dari 10 buah negara.

Pengetua SMTT, Mohd Nasri Abdullah berkata, beliau tidak pernah menjangka akan memenangi pertandingan itu dan amat berbangga dengan pencapaian sekolah tersebut apabila berjaya menerima pingat emas dalam pertandingan di peringkat antarabangsa.

“Hasil ciptaan dikenali sebagai Flat Earth Smart Kit dalam bentuk permainan yang selari dengan pembelajaran abad ke-21 yang merupakan cetusan idea guru dan pelajar SMTT ini dibantu banyak pihak termasuklah Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan Alumni SMTT serta Politeknik Kuala Terengganu.

“Atas komitmen diberikan semua termasuk komuniti sekitar, ia memberikan kami keyakinan tinggi dan akhirnya membuahkan kejayaan,” katanya dalam satu sesi temuramah bersama ManisFm, di sini hari ini.

Sementara itu, guru pembimbingnya, Zainorashikin Abdul Rahman pula berkata, kejayaan dalam penyertaan kali pertama itu diharap dapat dijadikan suntikan semangat kepada pelajar SMTT untuk terus meraih kejayaan cemerlang pada masa akan datang.

"Sebenarnya idea ini dicetuskan oleh tuan pengetua (Mohd Nasri). Beliau telah memberi kepercayaan kepada saya untuk membawa inovasi ini melalui subjek Matematik dengan tajuk bumi sebagai sfera.

"Flat Earth Smart Kit ini merupakan produk memudahkan pelajar untuk mengira beza sudut antara dua titik pada permukaan bumi dan sistem yang dicipta itu turut dilengkapi dengan sistem hologram," katanya yang juga terpilih sebagai juri terbaik kejohanan.

Lebih utama, kata Zainorashikin, Flat Earth Smart Kit merupakan bahan bantu mengajar yang boleh dimainkan oleh semua peringkat pendidikan yang mana konsep asalnya  bertemakan Matematik.



Tag: