• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sektor Awam Tulang Belakang Kerajaan

KUALA TERENGGANU, 11 Januari – Kerajaan Terengganu berharap semua anggota Perkhidmatan Awam menjadikan sektor awam sebagai tulang belakang kerajaan yang lebih efisien dan responsif terhadap keperluan rakyat.

Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berkata, kerajaan memerlukan kerjasama kukuh, kesefahaman jitu dan sokongan kuat daripada semua agensi.

"Ia adalah ramuan utama kejayaan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik dapat disediakan kepada rakyat negeri Terengganu khususnya dan negara Malaysia amnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan khas sempena Tahun Baru 2024 di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Nara Setia, Pengarah Tanah dan Galian negeri, Dato’ Ishamudin Hashim, Timbalan SUK (Pembangunan), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Timbalan SUK (Pengurusan) Ab Rasid Jusoh dan kira-kira 1,300 kakitangan awam negeri Terengganu dari pelbagai jabatan.

Terdahulu, Tengku Seri Bijaya Raja mahu penjawat awam menterjemahkan saranan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa pentadbiran kerajaan penggal ini sudah masuk 'gear tiga'.

"Ini bererti kakitangan awam perlu melaksana tanggungjawab selari dengan dasar, arahan dan halatuju kepimpinan negeri.

"Maka, segala dasar, arahan dan halatuju kepimpinan negeri harus selari dan serentak mungkin lebih baik dan ke depan diterjemahkan, dilaksanakan oleh jentera pentadbiran iaitu kakitangan awam," ujarnya.

Beliau juga membuat perumpamaan secara asasnya nisbah gear tiga ialah 1:1 iaitu tayar berputar perlu sama dengan kuasa kuda (CC) injin sesebuah kereta.

“Apa yang istimewanya gear tiga ni, secara asasnya nisbah gear tiga adalah 1:1 dan tork yang sampai pada tayar sama dengan enjin.

"Mungkin sedikit berbeza mengikut jenis kereta atau CC enjin, kalau enjin putar 3000 RPM, maka tayar pun akan berputar dengan nilai hampir sama," jelasnya.


Tag: