• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Sembilan Perancangan Kuala Terengganu-Kemaman Pintu Masuk Ekonomi


 
Industri Petroleum dan Gas Kertih Kemaman pemangkin ekonomi Terengganu. -Gambar Hiasan.
KUALA TERENGGANU, 4 Disember - Kerajaan Negeri mengatur sembilan perancangan bagi menjadikan Daerah Kuala Terengganu dan Kemaman sebagai pintu masuk ekonomi ke Negeri Terengganu.

Dari rancangan itu kerajaan meletakkan lima perancangan untuk Daerah Kemaman manakala selebihnya untuk Daerah Kuala Terengganu.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata di Daerah Kemaman, kerajaan merancang untuk mengukuhkan rantaian ekonomi industri pembuatan berat serta minyak dan gas.

Kerajaan juga membuka kawasan-kawasan perindustrian baharu yang menfokuskan kepada 'petrol chemical' dan 'biopolymer'.

Ini termasuk menyediakan ekosistem industri yang lebih 'investor-friendly' (mesra pelabur) dan boleh menarik kehadiran pelabur berskala besar.

"Kerajaan juga memperkenalkan insentif-insentif dalam bentuk diskaun bayaran premium tanah bagi menarik minat pelabur.

"Membaikpulih dan menaiktaraf kawasan-kawasan perindustrian sedia ada," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik Ir Saiful Azmi Suhaili dalam Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman di sini baru-baru ini.

ADUN itu dalam soalannya ingin tahu perancangan kerajaan bagi merancakkan lagi peluang dan perkembangan untuk menjadikan Kuala Terengganu dan Kemaman sebagai pintu masuk ekonomi ke Negeri Terengganu.

Dr Ahmad Samsuri yang juga ADUN Rhu Rendang berkata, bagi Daerah Kuala Terengganu, kerajaan sedang mengukuhkan sektor pelancongan sebagi Hub Pelancongan Wilayah Timur dan Kuala Terengganu sebagai pintu masuk utama pelancongan di Negeri Terengganu.

Kerajaan juga katanya sedang merancang untuk meningkatkan sektor perkhidmatan, sebagai pusat pendidikan dan perniagaan.

"Kerajaan turut meneroka potensi pelaburan baharu termasuk perkhidmatan sokongan minyak dan gas (aktiviti crew change), 'Maintenance Repair and Overhaul' (MRO) serta lain-lain perkhidmatan yang memberi impak kepada rakyat.

"Di samping itu kerajaan juga berusaha meningkatkan potensi usahawan-usahawan tempatan melalui 'business model' secara online," jelas beliau lagi.


Tag: