KUALA TERENGGANU, 17 November – Kerajaan Terengganu dicadang mengkaji semula persempadanan kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi meningkatkan keupayaan menjana hasil serta mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kewangan kerajaan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi berkata, kajian itu penting bagi memastikan sempadan pentadbiran setiap PBT lebih seimbang dengan potensi ekonomi kawasan masing-masing.
Menurutnya, ketika ini hanya Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) mempunyai kedudukan hasil yang tidak terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan negeri, manakala PBT lain masih memerlukan sokongan kewangan.
"Kalau kita melihat kepada keadaan sekarang, hanya Majlis Perbandaran Kemaman sahaja yang mempunyai hasil yang tidak terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan negeri.
"Sedangkan PBT lain masih mengharapkan geran ataupun bantuan dan sokongan kewangan daripada kerajaan negeri.
"Sebab itu, saya ingin mencadangkan kepada kerajaan negeri, kepada Yang Berhormat Exco PBT, mungkin boleh mempertimbangkan satu kajian menyeluruh terhadap persempadanan semula kawasan PBT," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Enakmen Perbekalan 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, pada Selasa.
Mengambil contoh daerah Dungun, Tengku Muhammad Fakhruddin mencadangkan supaya sebahagian kawasan industri minyak dan gas di Kerteh yang berpotensi menjana hasil dimasukkan ke dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Dungun (MPD).
Menurutnya, langkah itu berpotensi mengukuhkan kedudukan kewangan MPD, sekali gus membolehkan kedua-dua majlis perbandaran berkenaan lebih berdikari dan berdaya saing.
"Apa salahnya kalau sedikit daripada kawasan itu yang boleh menjana hasil kepada PBT disempadankan semula, dimasukkan ke dalam kawasan Majlis Perbandaran Dungun.
"Dan kita ada dua majlis perbandaran yang boleh berdikari, yang boleh berdaya saing," katanya.
Beliau berkata, sekiranya MPK dan MPD mampu menjana pendapatan sendiri tanpa terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan negeri, peruntukan berkenaan boleh dimanfaatkan untuk membantu PBT lain yang lebih memerlukan.
"Antara Majlis Perbandaran Kemaman dan Majlis Perbandaran Dungun yang tidak mengharapkan bantuan dan geran daripada kerajaan negeri, bantuan dan geran ini boleh disalurkan kepada PBT-PBT lain yang lebih memerlukan," jelasnya.