• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

'Sepak Takraw Tidak Akan Pupus di Terengganu '

KUALA NERUS, 2 Mac- Itu keyakinan yang dilontarkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah ketika merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Piala Exco Belia &Sukan Terengganu, hari ini.

Dalam kejohanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu itu, beliau berharap bahawa penganjuran tersebut menjadi satu permulaan penguasaan sukan sepak takraw di kalangan 'ubi-ubi' Terengganu.

"Saya sebut pada YB Tengku Zaihan (presiden persatuan) tadi, apabila saya melihat kanak-kanak berumur 8,9,10 tahun yang menyertai, saya cukup yakin bahawa Terengganu tidak akan kepupusan pelapis untuk mewakili negeri dalam sukan sepak takraw hingga ke peringkat antarabangsa.

"Harapan saya sudah tentulah pada persatuan sebab anak-anak ini sudah pasti tidak akan dapat aktif dan mempamerkan bakat mereka sekiranya tidak ada sokongan daripada persatuan itu sendiri.

"Saya cukup yakin persatuan dapat berkerja keras untuk menggerakkan usaha di peringkat akar umbi supaya lebih banyak bakat baru dapat dicungkil," katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian kejohanan terbabit.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu disertai lebih 80 pasukan melibatkan dua kategori iaitu Bawah 12 tahun dan Atas 12 tahun.

Wan Sukairi turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan ,Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT) dalam menjayakan program itu dengan kerjasama Urus Setia Belia Sukan &NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT).

"Sukan ini merupakan salah satu sukan teras daripada program Sukan Untuk Semua (SUS) yang dibentangkan Menteri Besar, Dato'Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Belanjawan 2023 yang lalu.

"Selain daripada sepak takraw, sukan teras lain yang turut terlibat adalah Badminton, Bola Jaring dan Bola Sepak.

"SUS bakal menjadi medan untuk mencungkil tunas-tunas dan bakat-bakat baru daripada seluruh pelusuk negeri yang kemudian dipilih persatuan-persatuan sukan untuk dijadikan atlet di peringkat lebih tinggi," katanya.

 

 

 

 

 

 


Tag: