• 14 Apr 2021 | 2 Ramadhan 1442

Serah Katil, Kerusi Roda Bantu Pesakit Terlantar

MARANG, 21 Disember - Sebanyak lima buah katil pesakit dan sepuluh kerusi roda telah diserahkan kepada penduduk Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang yang memerlukan di mana rata-rata antara mereka adalah pesakit terlantar dan tidak dapat menguruskan diri sendiri.

Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Sabri Zakaria ketika dihubungi berkata, katil ini akan digunakan untuk orang ramai secara wakaf dan bergilir-gilir bergantung keadaan semasa pesakit.

"Lima unit katil ini diserahkan dibawah kelolaan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Rhu Rendang bersama-sama 10 buah kerusi roda yang disumbang khas oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga merangkap ADUN Rhu Rendang.

"Beliau yang juga wakil rakyat di sini sentiasa mengambil berat hal masyarakat di sini dalam memberikan sumbangan dan bantuan keperluan yang diperlukan bagi meringankan beban penduduk yang memerlukan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng menjelaskan ini adalah usaha PKM untuk membantu sementara menunggu bantuan daripada jabatan dan agensi terbabit.

"Ini kerana, kita juga memahami proses dan prosedur, atau mungkin kekangan dari jabatan yang terpasa menghadapi tempoh-tempoh tertentu bagi meyalurkan bantuan.

"Penerima pula adalah mereka yang betul-betul memerlukan berdasarkan maklumat daripada kunjungan dan siasatan yang dibuat sendiri bersama-sama agensi sebelum ini.

"Ada juga jenis penyakit yang memang dinasihatkan oleh doktor tentang keperluan katil ini, di mana keperluan katil ini merupakan keutamaan bagi mereka."katanya

Beliau berkata demikian selepas  selesai menyerahkan sumbangan katil dan kerusi roda bersama-sama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Kampung Rhu Renggeh, Seberang Marang, serta Sungai Kerak.

 


Tag: