KUALA TERENGGANU, 18 Oktober - Merujuk kepada serangan ganas regim Zionis Israel ke atas Hospital Al-Ahly Al-Mamdani di Semenanjung Gaza, PAS mengutuk sekeras-kerasnya jenayah perang yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.
Presiden Parti Islam Se-malaysia (PAS), Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata seluruh dunia perlu membuka mata melihat wanita, kanak-kanak, pesakit dan orang tua dibunuh dengan penuh kejam.
Katanya, mereka dibunuh tanpa perikemanusiaan dan belas kasihan.
“Umat Islam tidak boleh lagi hanya menyaksikan kekejaman yang berlaku tiap-tiap hari terhadap saudara kita.
“Para pemimpin dan rakyat seluruh dunia mesti bangkit dengan semangat jihad bagi mempertahankan bumi Palestin,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.
Tambah Abdul Hadi, media digesa bersikap bebas dan berani menyiarkan berita kezaliman Zionis Israel yang merampas tanah Palestin.
"Kerajaan Malaysia juga digesa mendesak Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk mendakwa Israel di atas jenayah perang terhadap Palestin," ujarnya.
Terdahulu, seramai lebih 600 orang terkorban dalam serangan udara tentera Israel mengebom Al-Ahly Al-Mamdani Hospital di Semenanjung Gaza.