• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

Serius Perkasa Agama Melalui Institusi Pendidikan Islam

KUALA TERENGGANU, 12 September - Kerajaan Terengganu melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) memberi perhatian serius untuk memperkasakan agama dengan memperkukuhkan institusi pendidikan Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, kerajaan sedia memperkukuhkan fahaman masyarakat dengan penyuburan Pendidikan Islam.

“Menjadi tanggungjawab dan amanah kita untuk memastikan masyarakat subur dengan Islam dan sedia mempertahankannya untuk ratusan tahun akan datang, salah satu jalannya adalah melalui sistem pendidikan Islam.

“Masyarakat kita perlu diberi kefahaman agama yang utuh supaya ada jati diri dan keteguhan jiwa untuk berdepan dengan ideologi luar seperti liberalisme, sekularisme dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Multaqa Badan Pengelola Institusi Pendidikan Islam Negeri Terengganu 2024 di dewan Auditorium, JHEAT.

Turut hadir pada majlis tersebut Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu; M. Rozi Bidin, Pengarah JPINT; Lothman Awang dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Rabitah Institusi Pendidikan Islam Terengganu, Muzaihar Kamal Mustapa Kamal.