• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Setiu Diisytihar Sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri

SETIU, 12 Julai - Kerajaan negeri mengisytiharkan daerah Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 16 Jun lalu.

Katanya, pemilihan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu adalah disebabkan beberapa faktor antaranya daerah ini masih lagi mempunyai tanah pertanian berskala komersial untuk diusahakan di dalam sesuatu kawasan.

"Ini termasuklah tanah kerajaan atau tanah yang telah diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara untuk kegunaan pertanian.

"Pada ketika ini terdapat 2,104 hektar tanah yang telah diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara yang dikhususkan untuk aktiviti pertanian sama ada penternakan atau tanaman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Penuaian Ubi Vitato di pusat tanaman ubi vitato secara berkelompok di tanah seluas 28 hektar di Kampung Banggol, Permaisuri, hari ini.

Menurut Dr. Azman, pemilihan Setiu juga adalah bagi memaksimakan potensi kewujudan tanah terbiar di daerah ini.

"Setiu mempunyai kira-kira 1,214 hektar tanah terbiar yang tidak diusahakan bagi menjana pendapatan rakyat.

"Tanah-tanah terbiar disebabkan pelbagai faktor seperti penyediaan infrastruktur keupayaan modal pemilik tanah, kemahiran teknikal dan sikap pemilik tanah itu sendiri," jelasnya.

Dalam pada itu beliau berkata, bagi menggerakkan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu, kerajaan negeri juga telah bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Setiu dan dianggotai oleh ketua- ketua jabatan yang berkaitan.

"Tugas jawatankuasa ini adalah untuk menyediakan pelan tindakan, mengenal pasti tanah-tanah untuk dimasukkan dalam program ini dan memproses permohonan- permohonan melibatkan program Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu," ujarnya.

Katanya, beliau turut berharap dengan pengisytiharan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu, akan menjadi faktor penyumbang kepada sasaran Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021 dalam meningkatkan purata pendapatan petani kepada RM3,000 sebulan bagi setiap isi rumah, meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada 10 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) serta meningkatkan jumlah guna tenaga dalam sektor pertanian daripada 42,900 orang kepada 44,000 orang.

"Semoga dengan usaha ini juga dapat mencapai sasaran kerajaan negeri pada tahun ini sebagai tahun pertanian sekali gus menjadi salah satu pemangkin kepada ekonomi negeri ini," ujarnya.