• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Setiu Model Pembangunan Tanah Terbiar

SETIU, 8 Disember – Daerah Setiu bakal dijadikan sebagai model membangunkan tanah terbiar dengan pelbagai aktiviti pertanian.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, terdapat lebih 1,000 hektar tanah terbiar yang boleh dimajukan menjadi tanah produktif dengan mengeluarkan hasil pertanian.

Katanya, tanah-tanah tersebut mempunyai pemilik namun tidak diusahakan selama tiga tahun berturut-turut.

"Bayangkan dengan keluasan tersebut jika ditanam dengan benda yang boleh memberi manfaat, berapa banyak hasil yang kita akan dapat. Contohnya Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pengkalan Aman, Setiu ada 27 hektar tanah yang telah diberi milik melalui proses RTB daripada tahun 2000 dan ke atas, namun 2020 ini tidak sampai 20 peratus daripada tanah telah diusahakan. 

"Kita bekerja bersungguh-sungguh menunaikan hasrat rakyat untuk memiliki tanah tapi dalam masa yang sama ia perlu ada gabung jalin daripada bawah yang bersungguh-sungguh mengusahakannya. Akhirnya, ia memberi pulangan hasil kepada keluarga kita sendiri.

"Kita akan jadikan RTB di Pengkalan Aman sebagai ‘pilot’ projek bagi memajukan tanah terbiar. Antaranya kita akan tanam dengan tanaman kontan dan juga mangga harum manis," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Suratan Hakmilik (Geran) dan Borang 5A bagi Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Daerah Setiu di Dewan Serbaguna Sungai Tarom, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tanaman harum manis sangat subur jika ditanam di kawasan-kawasan berkenaan.

Ini kerana kadar kemanisan buah harum manis yang ditanam di Rhu Tapai telah mendapat bacaan brix meter sehingga 23 berbanding di Perlis hanya 22.

"Ia membuktikan bahawa harum manis ini mampu ditanam di kawasan tanah beris.

"Sebenarnya tanah yang tidak dimajukan ini mengikut Kanun Tanah Negara ada peruntukan hak yang membolehkan kita rampas semula tapi kerajaan negeri bukan mahu merampas.

"Yang kita mahukan adalah berpakat fikir cari jalan, buat kajian, panggil jumpa berbincang apa sebab dan apa faktor yang menyebabkan tanah ini terbiar," jelasnya.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, seramai 253 orang telah menerima geran dan 104 penerima jadual 5A.

"Jadi bukan semua di kalangan rakyat kita bernasib baik untuk mendapat tanah. Maka yang boleh tanah ini tidak dimanfaatkan ia menjadi satu kerugian, sekiranya memerlukan bantuan teknikal dan sebagainya jabatan-jabatan sedia membantu," katanya.

Beliau turut menegaskan kepada penerima jadual 5A supaya menjelaskan bayaran sebelum habis tempoh.

"Ini kerana ia akan merumitkan lagi keadaan untuk proses seterusnya. Jangan dibandingkan dengan harga tanah zaman dahulu kerana ia bergantung kepada penilaian tanah semasa," jelasnya.