• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

SG4 Sedia Terima Pandangan Pelbagai Pihak

KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - State Government 4 atau SG4 sedia menerima sebarang pandangan pelbagai pihak termasuk daripada individu yang menerima gelaran Tan Sri baru-baru ini, demi kebaikan rakyat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerjasama SG4 adalah untuk memberi nilai tambah dan elemen baharu yang boleh diusahakan.

Katanya, banyak manfaat boleh dihasilkan apabila semua pihak melihat sisi pandangan yang berlainan dengan matlamat untuk membantu sesama negeri.

“Saya ingin menjelaskan SG4 adalah pendekatan 'non-partisan', bahawa kita sangat terbuka untuk menerima siapa juga yang ingin membantu.

“Termasuklah daripada individu yang baru mendapat pingat Tan Sri baru-baru ini, jika beliau nak membantu, kami dengan hati terbuka akan mendengar pandangan dan saranannya, walau parti politik berbeza,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.

Ketika ditanya tentang peranan Tun Dr Mahathir secara probono dalam SG4, Ahmad Samsuri berkata Mantan Perdana Menteri itu mempunyai keistimewaan tersendiri.

"Penglibatan beberapa tokoh, yang mempunyai kedudukan dan pengaruh dalam bidang-bidang tertentu juga akan digunakan sebaiknya, bagi meraih manfaat yang sebanyaknya kepada SG4," katanya.

Tambah Ahmad Samsuri, kerjasama strategik berkenaan adalah untuk meningkatkan Daya Saing (Competitiveness) dan Daya tahan (Resilient) negeri-negeri anggota SG4.

“Perlu diingat, kesenjangan (disparity) yang ada di negeri-negeri ini perlu di rapatkan, dan saling bantu membantu dalam aspek yang menjadi kekuatan sebuah negeri, mungkin kelemahan di negeri yang lain,” jelasnya.


Tag: