• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

SG4 Tarik Pelabur Jepun, Korea dan China

SHAH ALAM, 21 Oktober - Penglibatan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam 'State Goverment Four' (SG4) berjaya menarik minat pelabur dari negara maju terutamanya Jepun, Korea dan China untuk melabur di Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, negara berkenaan telah menghubungi SG4 dan menyatakan minat untuk melabur selepas Tun Mahathir berkunjung ke negara berkenaan.

Katanya, selepas ini Tun Mahathir akan mengadakan pertemuan dengan negara daripada Timur Tengah.

"Apabila kita melibatkan Tun Mahathir beliau telah banyak melakukan libat urus di semua-semua negeri ini.

"Beliau sendiri telah bertemu dengan pelabur-pelabur dari negara luar ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika sidang media pada sidang media di Muktamar Tahunan PAS kali Ke-69, di Ideal Convention Centre Shah Alam (IDCC), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata beliau sangat terbuka menerima nasihat daripada mana-mana pihak tanpa mengira perbezaan parti dalam memastikan SG4 dapat digerakkan dengan baik bagi memacu kemajuan di empat negeri ini.

"Termasuklah jika Tan Sri Lim Kit Siang nak berikan pandangan dan kemukakan idea-idea, kami terbuka.

"Kalau nak bercakap tentang politik dari pagi sampai malam, 24 jam dan tentang perbezaan politik, saya rasa Malaysia ini tidak akan boleh bergerak ke hadapan.

"Saya pernah sebut kepada Perdana Menteri semasa majlis hari raya, ada perkara yang perlu non-partisan, non-political tetapi komitmen ataupun cooperation daripada pelbagai pihak," katanya.

Dalam pada itu beliau turut menyifatkan SG4 adalah seperti kerjasama kumpulan negara yang wujud seperti G7, G8, D20 dan blok ekonomi seperti BRICS.

 


Tag: