• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

SG4 Wujud Kerjasama Perkasa Kaum Wanita

KUALA TERENGGANU, 8 November - 'State-Government 4' (SG4) melibatkan Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis sedang melakukan perbincangan bagi menjalin kerjasama untuk memperkasakan kaum wanita.

Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Wan Nur Sakinah Din berkata, usaha itu bakal menaikkan martabat wanita ke mata dunia jika direalisasikan dengan baik.

"Dalam perbincangan bersama negeri Kelantan, kami mengutarakan isu memperkasakan lagi wanita membabitkan di masa depan.

"Sekarang ini dua buah negeri telah melancarkan Dasar Wanita iaitu negeri Terengganu dan Kelantan," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program kunjung hormat kepada Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Rohani Ibrahim di Mabna MBI Kompleks Kota Darul Naim, pada semalam.

Turut sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim dan Penolong Setiausaha Kerajaan Terengganu, Wan Hilmi.
 
Mengulas mengenai perbincangan itu, Sakinah berkata, kunjungan hormat itu juga adalah untuk saling bertukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala yang berkepentingan.

"Hubungan dua buah negeri di antara Terengganu dan Kelantan yang bakal memberi manfaat bersama," ujar Sakinah lagi.


Tag: