• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Shaharizukirnain Berjaya Wujudkan Pembangunan Berskala Besar di Setiu

KUALA TERENGGANU, 14 November - Penyandang kerusi Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir telah membawa perubahan berimpak besar untuk Daerah Setiu pada penggal lepas.

Menurutnya, kejayaan itu merupakan hasil usaha beliau sama ada melalui pertemuan dan permohonan secara terus dengan jabatan dan menteri yang terlibat sejak 2018 hingga 2022 membabitkan peruntukkan sebanyak RM208.91 juta.

Katanya, antara projek tersebut ialah dua Jambatan di Seri Bayas RM17.78 juta dan Jambatan Sungai Lerek RM6.75 juta, empat buah masjid di Kuala Kubang (RM3 juta), Pengkalan Merbau (RM3 juta) dan Chalok Barat (RM4 juta).

"Dua buah klinik pula berjaya dibina di Batu Rakit (RM33 juta), di Rhu 10 (RM26 juta) selain itu turut dibina Balai Raya Gong Pasir (RM150,000), Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan Renek (RM429,000) dan Dewan Tertutup Kampung Kerandang (RM450,000).

"Batu penahan hakisan pantai di Kampung Pengkalan Maras (RM800,000), takung air di Batu Rakit (RM800,000) dan pedalaman muara di Kampung Mangkuk (RM112 juta) selain itu juga telah dibuka Jalan Pertanian Chalok Barat (RM750,000) dan telah berjaya membina 375 unit Rumah Mampu Milik (RMM) di Kampung Bintang," ujarnya melalui satu kenyataan di facebooknya, semalam.

Perkongsiannya itu telah mendapat reaksi yang cukup baik di kalangan rakyat Setiu kerana telah berjaya membawa perubahan yang menepati kehendak dan keperluan rakyat.

Rata-rata penduduk juga mahu beliau menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 agar terus kekal menjadi ahli Parlimen.

Salah seorang penduduk, Hajar Fatimah menyatakan dalam tempoh yang singkat dengan pembangunan dan perubahan yang dibawa menunjukkan penyandang kerusi parlimen itu telah menunjukkan prestasi yang cukup membanggakan.

"Alhamdulillah baru empat tahun, cuba bayangkan kalau Ustaz Zul (Shaharizukirnain) menjadi Ahli Parlimen untuk tahun-tahun seterusnya  ke hadapan sudah tentu akan banyak lagi kemajuan yang akan dibangunkan di Setiu," ujarnya.