• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

KUALA TERENGGANU, 5 Oktober - Teka-teki ketua pegawai eksekutif Terengganu FC bakal terjawab pada Ahad ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishammuddin Abdul Karim keputusan itu akan dinoktahkan selepas mesyuarat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) pada hari berkenaan.

"Buat masa ini, tugas tersebut akan dipangku Ketua Pegawai Operasi (COO), Mohd Sabri Abas.

"Walaupun Terengganu FC diswastakan, ia masih terikat dengan sumber daripada kerajaan negeri.

"Lazimnya, kita akan utamakan posisi tersebut dengan individu daripada kumpulan pegawai tadbir negeri untuk mengisi kekosongan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pra Pelancaran Internacional Golden Monsun Ride (IGMR) 2023, di sini hari ini.

Beliau sempat merakamkan ucapan tahniah atas peningkatan prestasi Terengganu FC di peringkat domestik dan antarabangsa.

"Prestasi semakin baik, tahniah kepada pasukan Terengganu FC kerana mencatatkan keputusan membanggakan terutama dalam saingan Piala AFC," katanya.

Sebagai rekod, CEO Terengganu FC sebelum ini, Ab Rasid Jusoh meninggalkan kelab pada awal Oktober lalu, selepas dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu ( Pengurusan ).


Tag: