• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Di Sebalik Senyuman, Suraya Derita Kanser Tahap 4

Oleh : Khatijah Alias

HULU TERENGGANU, 1 Julai – Tiada siapa yang menyangka, di sebalik wajah ceria dan tenang Suraya Abdullah menyimpan pelbagai kisah duka kerana sedang menderita kanser payudara tahap 4.

Wanita yang tinggal Kampung Binjai Kertas, Kuala Berang itu berkata, penyakit itu tidak melemahkan semangatnya untuk hidup seperti biasa dan dia menganggap kanser tersebut sebgai ujian.

Suraya Abdullah atau Kak Aya, 46, berkata, dia mula mengidap penyakit barah payudara ini sejak tahun 2018 lalu.

"Masa itu tahun 2018, saya dapat tahu yang saya diserang kanser payudara dan dah berada pada tahap 2.

"Saya masih lagi bekerja seperti biasa sebagai guru di Madrasah Darul Iman (MDI), Marang, sehinggalah tahun lepas sakit saya semakin serius dan terpaksa menjalani pembedahan.

"Bermula itu saya tidak lagi dapat bekerja dan hanya duduk dirumah,” katanya ketika dihubungi pemberita semalam.

Kak Aya ketika menerima kunjungan Dr Mamad.

Disebabkan itu, bekas guru MDI itu memaklumkan, pendapatan keluarganya sekarang hanya bergantung kepada kerja suaminya dan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta sumbangan daripada MDI.

“Suami bekerja sebagai guru di sekolah agama di Kampung Laut. Dulu, sumber pendapatan daripada kami berdua, tapi sekarang ini bergantung kepada suami sahajalah.

“Suami pun tidak berapa sihat juga kerana menghidap penyakit sendi Charkot di bahagian kaki akibat diabetes.

“Dia berjalan menggunakan tongkat bagi membantu pergerakan. Kadang-kadang pakai kasut khas bila perlu berjalan lama dan jauh,” tambahnya.

Kesukaran hidup Kak Aya mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh dan Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTS) Dun Kuala Berang, Mohamed Abdullah.

Prihatin dengan nasib Kak Aya, Dr Mamad ditemani Mohamed turun menziarahi Kak Aya di kediamannya di sini.

“Hari ini (kelmarin) saya hadir untuk bertemu mata dengan Puan Suraya ini dan keluarganya untuk bertanya khabar sekali lagi dan menyampaikan sedikit sumbangan bagi meringankan beban yang dihadapinya.

“Tahun lepas, saya juga menziarahinya dan sentiasa mengambil tahu perkembangan dari semasa ke semasa dengan harapan semoga urusan Puan Suraya dipermudah dan diberi kesembuhan hendaknya,” ujar beliau.