• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Sidang DUN: Cadang Bina Dungun Riverfront Esplanade

Ariffin ketika menjawab soalan lisan Wan Hapandi Wan Nik (PAS-Sura) dalam persidangan DUN Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto Foto oleh: Harish Fadzillah Abu Kasim
Kerajaan negeri bercadang membina Dungun Riverfront Esplanade dengan kos RM10 juta serta pembinaan jeti pelancongan ke Pulau Tenggol berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Dungun.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Teknologi Maklumat negeri,  Ariffin Deraman berkata, langkah membangunkan kemudahan pelancongan termasuk kos pembinaan jeti kira-kira RM2 juta serta beberapa kemudahan sokongan itu sebagai usaha memajukan kawasan pelancongan di pesisir Sungai Dungun.

Menurut Ariffin, lokasi yang dikenalpasti akan dijadikan kawasan tarikan pelancongan ialah bermula daripada jeti LKIM sehingga ke Jambatan Lama Sungai Dungun.

“Manakala panjang ke pantai pula untuk pembangunan kawasan tarikan pelancongan melibatkan kawasan sepanjang 5.76 kilometer bermula dari Kampung Tanah Lot ke Kampung Sura Hujung,"katanya.

Beliau yang juga ADUN Alur Limbat berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Wan Hapandi Wan Nik (PAS-Sura) dalam persidangan DUN Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini. 

Menjawab soalan tambahan mengenai antara bentuk projek yang akan dilaksanakan di kawasan itu, Ariffin berkata, bagi pembangunan di Sungai Dungun yang pertama sekali ialah menaik taraf tempat meletak kenderaan, arca, dataran, pondok rehat serta laluan pejalan kaki.

“Kawasan memancing pula kita akan bangunkan termasuk jeti,tempat meletak kenderaan, restoran, pintu masuk, kawasan sukan dan riadah.

“Bagi Rumah Api Teluk Bidara ianya akan dinaik taraf termasuk kawasan rekreasi, perabot taman, kawasan penginapan, arca dan kiosk,” ujarnya.

Tag: