• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

SIDANG DUN : Hampir Enam Ribu Warga Tani Nikmati Manfaat Bernilai RM3 Juta

KUALA TERENGGANU, 17 November – Pelaksanaan pelbagai program dan bantuan daripada Kerajaan Negeri dari Januari hingga November tahun ini telah memberi manfaat kepada sejumlah 5,949 orang warga tani dengan nilai RM3 juta.

Data tersebut dilaporkan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi  dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim yang memperincikan jumlah tersebut melibatkan 3,447 orang petani.

“Disamping itu, seramai 622 penternak dan 1880 nelayan turut menerima nikmat pelbagai bantuan sejak bermulanya Tahun Pertanian Terengganu (TPT) 2021.

“Apabila tamat pelaksanaan TPT 2021 pada Januari 2022 nanti, Sekretariat TPT bertanggungjawab mengukur pencapaian dan keberkesanan kepada semua golongan sasar melalui soal selidik di lapangan.

“Sekretariat TPT turut bertanggungjawab memantau pelaksanaan serta menyediakan perancangan untuk menambahbaik Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan bajet 2022 dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri, semalam.

Tambahnya, Terengganu turut menyediakan perancangan kearah penubuhan Perbadanan Pertanian Negeri Terengganu.

“Negeri-negeri lain yang menjadikan pertanian sebagai teras ekonomi rakyat mempunyai perancangan yang bersistematik melalui Perbadanan Pertanian Negeri.

“Terengganu juga mempunyai perancangan ke arah penubuhan Perbadanan ini melalui perancangan yang tuntas dan berbekalkan data yang tepat,” katanya lagi.