• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Sidang DUN : Pelancongan Miliki Lebih 300 Ribu Pengikut Di Media Sosial

KUALA TERENGGANU, 24 November – Kerajaan negeri kini giat menggunakan media sosial sebagai platform mempromosikan produk pelancongan tempatan bagi menambah lagi kehadiran pelancong ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa  Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman berkata, tindakan ini secara tidak langsung akan membawa lebih ramai pelancong apabila mereka tertarik dengan posting-posting yang dimuatnaik.

Jelas beliau, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan rakan media lain dalam mengetengahkan ‘page’ pelbagai keunikan seni budaya Terengganu.

“Sebagai contoh, ‘page’ media sosial di Instagram dan Facebook bertemakan pelancongan dan budaya Terengganu seperti ‘Page’ Facebook ‘Amazing Terengganu’ dengan ‘like’ mencecah 200 ribu serta ‘Amazing Terengganu dengan 78 ribu pengikut di Instagram.

“Dua ‘page’ tersebut beserta enam lagi profil di platform media sosial lain menggabungkan pengikut aktif seramai 300 ribu, memberi potensi pengembangan seni budaya negeri untuk disebar luas ke setiap lapisan masyarakat.

“Manakala itu, Program FB Live Terengganu Comey melalui medium page rasmi Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (SUKTRA) mengutarakan lagu-lagu rakyat dan perkongsian maklumat seni budaya dan akan mengetengahkan penggiat seni budaya Terengganu,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini.

Malah menurut Ariffin, media sosial menjadikan usaha untuk mempromosikan pelancongan domestik ini menjadi lebih mudah apabila kebanyakan masyarakat pada hari ini sudah mula menyedari kepentingan media sosial dalam menyebarkan maklumat.

"Strategi ini  terbukti berkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun 2020, Terengganu antara tiga negeri yang mencatat jumlah pelancong tertinggi di Malaysia dari Jun hingga Ogos 2020.

"Ia dinilai dari kaedah kadar purata penginapan di hotel yang dikeluarkan oleh Persatuan Hotel Malaysia. 

"Ini termasuk penilaian jangka masa tinggal pelancong berada di negeri ini dan juga perbelanjaan mereka sepanjang berada di Terengganu," katanya.

Tambah Ariffin lagi, dalam tempoh Pendemik COVID-19, program seperti ‘Merakam Pengalaman’ dan juga ‘Pelita Raya Online’ telah dan akan diadakan dengan menggunakan platform digital sebagai teras kepada program.

“Penghasilan video dokumentari seperti Rodat juga dihasilkan sebagai saluran maklumat kepada orang ramai dan seterusnya di sebar luas ke media sosial terpilih,” ulasnya lagi.