• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Sidang DUN : Tiga Strategi Utama Pacu Sektor Pelancongan Yang Terjejas

 

KUALA TERENGGANU, 23 November - Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu telah merangka Pelan Pemulihan COVID-19 dengan pendekatan tiga strategi utama bagi menyelamatkan industri pelancongan ekoran daripada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman negeri berkata, tiga strategi utama ini adalah menangani impak COVID-19 terhadap sektor pelancongan, melestari pelancongan dalam tempoh COVID-19 dan juga memacu pertumbuhan sektor pelancongan negeri.

“Pelan pemulihan ini terbukti berkesan dengan statistik kedatangan pelancong ke  Terengganu selepas pandemik COVID-19 dengan pertambahan kedatangan pelancong ke produk-produk pelancongan seperti di pulau-pulau, Tasik Kenyir, Zoo Kemaman, Taman Tamadun Islam, Lata Kolam Air Deru EcoPark dan lain-lain

“Data Kadar Purata Penginapan (Average Occupancy Rate) yang telah dikeluarkan oleh Persatuan Hotel Malaysia (MAH) juga menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soal bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Dato’ Rozi Mamat di Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas(Bajet), hari ini.

Katanya lagi, selain tiga strategi Pelan Pemulihan COVID-19, pelbagai program aktiviti dan promosi pelancongan telah diadakan, dalam usaha untuk mengembalikan kerancakan ekonomi dalam sektor pelancongan di negeri ini semasa tempoh PKP sehinggalah PKPP .

“Kita memberi keyakinan kepada pelancong-pelancong yang sektor pelancongan negeri Terengganu seperti produk pelancongan hotel dan tempat penginapan dan lain-lain adalah selamat dari COVID-19 (building safety confidence) apabila berakhirnya Perintah Kawalan Perjalanan.

“Aktiviti promosi di media cetak dan elektronik serta meningkatkan penggunaan media sosial rasmi Beautiful Terengganu Malaysia di facebook, instagram, telegram, twitter, youtube dan We Chat diteruskan termasuk menggunakan sepenuhnya platform teknologi maklumat.

“Dan seterusnya menjadikan media sebagai media rasmi rakan strategik dan banyak lagi langkah-langkah yang telah diambil bagi merancakkan kembali sektor pelancongan di negeri ini,”katanya.