• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sistem Estaff Menang Anugerah Persada Inovasi Terengganu

KUALA TERENGGANU, 23 November - Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu melalui penyertaan Kumpulan HR CLIQUE dengan produk ‘Sistem Estaff’ berjaya memenangi Anugerah Emas Persada Inovasi dan Anugerah Lima Bintang pada Majlis Anugerah Persada Inovasi Terengganu 2023.

Ketua Kumpulan HR CLIQUE, Mohd Firdaus Ibrahim berkata, ‘Sistem Estaff’ dibangunkan secara dalam talian dengan menggunakan kepakaran ahli kumpulan bagi menyelesaikan masalah pengurusan maklumat sumber manusia yang melibatkan semua lantikan di Agensi/Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (PAN), Badan Berkanun Negeri (BBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang tidak sistematik.

“Ia merangkumi hampir 13,000 orang warga kerja melibatkan semua status lantikan tetap, contract of service, contract for service, sementara dan Mystep/pekerja sambilan harian. 

“Kami telah mengenal pasti permasalahan yang dihadapi oleh jabatan dan telah menggembleng tenaga serta idea untuk memastikan hal ehwal pengurusan data sumber manusia bagi ketiga-tiga kategori Pihak Berkuasa Melantik (PBM) ini dapat diuruskan dengan sistematik dan efektif serta memudahkan pihak BPSM, Pejabat SUK Terengganu merancang pengurusan sumber manusia di bawah seliaannya.

“Inovasi yang dihasilkan ini merupakan satu produk di bawah bidang inovasi penyampaian perkhidmatan (pengurusan) bagi kategori penciptaan dan sistem ini dibangunkan bagi menyelesaikan masalah ‘Pengurusan Maklumat Sumber Manusia Bagi Lantikan Di Bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu Yang Tidak Efisien’,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Persada Inovasi Terengganu 2023 yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja di Wisma Darul Iman.

Pada majlis tersebut, Kumpulan HR CLIQUE berjaya membawa pulang wang tunai bagi anugerah emas RM10,000, wang tunai insentif lima bintang RM1,000, piala pusingan dan piala anugerah emas, sijil anugerah emas serta sijil anugerah lima bintang.

Mengulas lanjut katanya, ‘Sistem Estaff’ yang dibangunkan itu mempunyai tiga modul utama iaitu Modul Pengurusan Kakitangan, Modul Pengurusan Perjawatan dan Modul 3P (Permohonan Pengisian Perjawatan) yang membantu mengurangkan proses kerja dan menjimatkan kos operasi pentadbiran. 

“Sistem ini telah meningkatkan kecekapan, mengoptimumkan kekangan sumber kewangan dan memantapkan proses kerja semasa yang kurang berkesan dan sistematik sekaligus membantu Pentadbiran SUK Negeri menjadi lebih efisien dan berdaya saing. 

“Antara ciri-ciri keunikan sistem adalah capaian akses yang mudah, proses pengurusan kakitangan secara dalam talian, pengkalan data yang berstruktur, mampu menghasilkan keseluruhan laporan sumber manusia melibatkan semua status lantikan, mampu berkolaborasi dengan sistem lain dan sebagainya,” jelas beliau.

Katanya, sistem ini berpotensi untuk dikomersialkan sekaligus dapat menjana pendapatan kepada Pejabat SUK Terengganu.