• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

'Skuad Uniti' Pasukan Hadapan Urus Komuniti Hadapi Banjir

KUALA TERENGGANU, 24 November - Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional melalui Skuad Uniti sedia berperanan sebagai pasukan hadapan untuk menghadapi serta menangani situasi tidak terduga seperti bencana banjir.

Ketua Pengarahnya, Abdul Halim Hasan berkata, pihaknya melalui skuad terbabit akan mengguna pasukan 'Bantu Mula' di Kawasan RukunTetangga (KRT) seluruh negeri.

"Pasukan akan membantu memindahkan mangsa-mangsa  banjir, bertindak menyalurkan maklumat pada setiap masa, serta melakukan segala kerja-kerja yang berkaitan pada peringkat awal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

"Kita juga akan akan turut berperanan menenangkan mereka yang terlibat menghadapi musibah berkenaan dengan menyampaikan motivasi bagi memulihkan psikologi mereka dalam tempoh awal berlaku itu.

"Manakala pada pasca banjir pula sukarelawan ini akan membantu melaksanakan kerja pembersihan," ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui pemberita pada Majlis Penghargaan Sukarelawan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK), di Sumai Hotel Apartment, di sini, pada hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Alias Harun dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional negeri, Mohd Rosli Alias.

Dalam program itu seramai 457 sukarelawan telah diberikan sijil penghargaan melalui wakil di setiap daerah terlibat melaksanakan MOVAK, iaitu Kemaman, Dungun, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut.

Mengulas mengenai MOVAK, beliau berkata program yang diadakan bermula Julai merupakan usaha melalui Kementerian Perpaduan bagi mempercepatkan pemberian vaksin kepada seluruh masyarakat terutama kepada mereka yang berada di luar bandar.

"Program ini telah ditamatkan, setakat ini belum ada keperluan untuk turut membantu rakyat dalam bagi mendapatkan dos penggalak, jika ada keperluan kita bersedia untuk laksanakannya," ujarnya.

 

 


Tag: