DUNGUN, 15 Februari– Pasukan SM Pasar FC A secara rasmi dinobatkan sebagai Raja Baru Bola Sepak Dungun selepas menampilkan aksi cemerlang menewaskan De Awang FC 4-1, dalam perlawanan akhir Piala Yang Berhormat Ahli Parlimen Dungun 2026, di Padang Bola Sepak Arena, Dungun, semalam.
Kejayaan tersebut sekali gus menyaksikan SM Pasar FC A membawa pulang piala pusingan berserta hadiah wang tunai berjumlah RM3,000.
Naib juara kejohanan menjadi milik De Awang FC yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 sebagai ganjaran atas pencapaian mereka.
Tempat ketiga bersama pula disandang oleh Pinang Merah FC dan JR FC, dengan kedua-dua pasukan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500 setiap satu.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, Kejohanan Bola Sepak Piala YB Ahli Parlimen Dungun 2026 edisi ini berlangsung meriah dengan penyertaan pelbagai pasukan tempatan yang mempamerkan komitmen tinggi, disiplin serta semangat kesukanan yang membanggakan.
"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih dirakamkan kepada Persatuan Bola Sepak Daerah Dungun (PBSDD) dan DACS Kawasan Dungun atas kerjasama, sokongan dan komitmen padu dalam memastikan kejohanan berjalan lancar dan teratur.
"Penghargaan turut diberikan kepada para penyokong, barisan urus setia, pengadil serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan kejohanan ini.
"Jutaan terima kasih kepada penaja - penaja yang sudi menaja untuk kejohanan kali ini," tambahnya.
Beliau turut berharap penganjuran kejohanan te sebut akan terus menjadi wadah pembangunan sukan bola sepak di peringkat daerah, seterusnya menyemarakkan lagi semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat Dungun pada masa akan datang.