• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

SMAASZA Terengganu Diiktiraf Antarabangsa

Rombongan SMAASZA pulang dari Zagreb, Croatia dengan lima enugerah antarabangsa. Dato' Tengku Hassan (tiga dari kiri) menyambut kepulangan mereka di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Nerus semalam.
KUALA NERUS, 21 November - Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) Kuala Terengganu, muncul sekolah terbaik dan bertaraf dunia di Pertunjukan Reka Cipta Antarabangsa (International Invention Show-INOVA) Ke 43 di Zagreb Fair, Croatia baru-baru ini.

SMAASZA mendapat lima anugerah kecemerlangan termasuk anugerah terbesar iaitu Rekacipta Terbaik Asia (Best Invention Of Asia) untuk produk P' Amary di samping satu pingat emas, masing-masing untuk produk 'P' Amary' dan 'Smart Eazer'.

Kedua-dua produk tersebut juga menerima Anugerah Istimewa (Special Award) dari World Invention Intellectual Property Association (WIIPA) dan JSC NIIAS, Russian Railways.

Serentak itu, Kerajaan Terengganu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan cemerlang yang dicapai oleh pelajar dan guru sekolah tersebut.

"Tahniah atas pencapaian cemerlang warga SMAASZA," - Dato' Tengku Hassan.
Ucapan berkenaan telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar ketika menyambut kepulangan rombongan sekolah tersebut di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini semalam.

Mereka terdiri dari tiga pelajar termasuk Ahmad Fakhrul Ismail, 16, Ahmad Aliuddin Zulkifli, 16 dan Wan Wadhihah Nadhirah Faisal, 13, serta dua guru pengiring termasuk Saripah Embong dan Zawiah Dollah.

Turut menyambut ketibaan mereka ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah dan Pengajian Tinggi, Ustaz Maliaman Kassim dan Pengarah Pendidikan Negeri, Haji Safruddin Haji Ali Hussin.


Dato' Tengku Hassan (dua dari kiri) dan Haji Safruddin menyambut ketibaan anggota rombongan SMAASZA di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Nerus semalam.
Menceritakan lebih lanjut latar belakang kejayaan sekolah berkenaan Dato' Tengku Hassan berkata, kisahnya bermula apabila guru dan pelajar berkenaan berhasrat untuk menyertai pertandingan INOVA yang disifatkan sebagai bertaraf dunia itu.

"Saya telah sampaikan hasrat mereka untuk menyertai pertandingan tersebut dengan pembiayaan kerajaan negeri kepada Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

"Lalu Menteri Besar terus segera meluluskan satu peruntukan khas untuk mereka ke sana," jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang berkata, sebelum ini, mereka telah banyak menyertai pertandingan dalam negeri tetapi keperluan mereka tidak dimaklumkan kepada kerajaan.

Tiga pelajar SMAASZA menunjukkan anugerah antarabangsa di pertandingan INOVA di Zagreb, Croatia.
Apabila dimaklumkan tambahnya, kerajaan segera menyediakan peruntukan kewangan bagi membolehkan rombongan sekolah tersebut di hantar ke Zagreb, Croatia.

"Mereka ini sebenarnya telah banyak mendapat anugerah berbentuk pingat emas di banyak pertandingan di dalam dan di luar negara sebelum daripada ini.

"Jadi kerajaan amat berbesar hati untuk membantu mereka agar kecemerlangan itu lebih bersemarak lagi dan memberi impak yang baik kepada negara dan negeri Terengganu sendiri," ujarnya.

Sementara itu berhubung dengan dua produk dipertandingkan itu, beliau menjelaskan bahawa 'P' Amary' merupakan produk kesihatan berasaskan minyak sawit untuk merawat penyakit kulit, anti bakteria, kulat dan penghalau serangga.

Manakala Smart Eazer pula merupakan produk pencuci, boleh digunakan untuk mencuci pakaian dan sebagainya.

"Kedua-dua produk ini merupakan produk yang cukup baik dan insya-Allah kita (kerajaan) akan mengadakan perbincangan untuk membolehkan produk tersebut di'patten'kan sekaligus dikomersialkan," jelasnya lagi.


Tag: