• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

SMIDI Menjadi Pilihan Ibu Bapa


Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 19 Januari - Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) yang ditubuhkan di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) menjadi pilihan ibu bapa demi kecemerlangan anak-anak dunia dan akhirat.

Seramai 110 pelajar yang melepasi temuduga telah terpilih untuk mengikuti pengajian di sekolah terbabit.

Tinjauan pemberita pada hari pertama SMIDI tersebut beroperasi hari ini mendapati rata-rata ibu bapa yang ditemui menyambut baik usaha kerajaan negeri menubuhkan SMIDI.

Salah seorang pekerja syarikat Teknologi Maklumat dari Selangor, Muhd Nasirin Abdul Ghani berkata, anaknya Muhammad Wafiy beruntung apabila turut terpilih ke sekolah berkenaan.

"Kerana SMIDI menawarkan satu aliran lengkap bersepadu, meliputi akademik dan keagamaan.

"Malah ianya menggunakan bahasa pengantar Inggeris dan Arab, selepas taklimat yang diberikan saya nampak akan komitmen Kerajaan Terengganu dalam memartabatkan bidang pendidikan, "ujarnya yang berasal dari Dungun.


Beliau berkata demikian, ditemui pihak media, selepas Taklimat Pendaftaran Pelajar Tingkatan Satu SMIDI AMBS, hari ini.

Manakala, seorang Juruteknik dari Kemaman, Zainal Ali berkata beliau beserta isterinya Nur Hazida Mohamed memilih sekolah berkenaan untuk anaknya Muhammad Musyrif kerana yakin dan percaya anaknya akan mendapat didikan dunia dan akhirat terbaik di sekolah terbabit.

"Tambahan pula penekanan terhadap al-Quran itu sendiri, dengan hafalan 10 juzuk akan dihabiskan.

"Itu menjadi nilai tambah yang akan memastikan bukan hanya sekadar kecemerlangan dari sudut akademik semata-mata, saya dapat tahu mengenai sekolah ini melalui sebaran melalui media sosial," jelasnya.

Sementara itu pengajar di Penjara Marang, Muhammad Najmi Liew berkata, SMIDI AMBS menjadi pilihan kerana memang anaknya Muhammad Syafiq mempunyai minat mendalami ilmu agama.

"Diantara faktor yang lain memang saya amat yakin dengan sekolah yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri itu," ujarnya.

Sementara itu,  Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata dengan penubuhan SMIDI berkenaan membuktikan bahawa kerajaan mengambil serius mengenai dunia pendidikan.

"Memang kita menyambut baik ianya diadakan didalam DUN Bukit Besi," ujarnya.

Tag: