• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

SMK Kuala Besut Juara Dunia KWN Global Summit 2020

BESUT, 25 November – Lima pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut (SMKKB) Terengganu telah berjaya mengharumkan nama negeri dan negara di persada global apabila menjadi johan antarabangsa dalam pertandingan Kid Witness News (KWN) Global Summit 2020.

Pertandingan peringkat akhir telah berlangsung secara atas talian dengan hanya tiga buah negara terpilih iaitu negara tuan rumah Jepun, Vietnam dan SMKKB yang mewakili Malaysia.

Program anjuran Panasonic tersebut sepatutnya dilangsungkan di Osaka, Jepun, tetapi diadakan secara alam maya akibat pandemik COVID-19. Pada peringkat awal, sebanyak 150 video telah dihantar daripada peserta di serata dunia.

Ketua Unit Inovasi SMKKB Faizul Abd Rahman berkata, dalam pertandingan akhir yang berlangsung pada Isnin baru-baru ini, pihaknya menampilkan lima peserta terdiri daripada tiga pelajar tingkatan lima dan dua pelajar tingkatan dua mewakili sekolah tersebut.

“Pelajar-pelajar tersebut ialah Muhammad Afiq Muhammad Ridzuan, 17, Umar Hamzah, 17, Mohamad Aqif Azfar Mohamad Azhar, 14, Mohamad Aqib Azfar Mohamad Azhar, 14, dan Nik Muhammad Izzul Iman Nik Mawardi, 17, manakala Mohd Masrur Afdie Matzuki, 17, menjadi pelakon utama dalam video pendek tersebut.

“Menerusi pertandingan itu, SMKKB atau lebih dikenali KuBEST mencipta video pendek yang berjudul "Mark Roso: The Island Boy", yang mengisahkan kehidupan seorang pelajar yang membantu mencari sumber ekonomi keluarganya dengan bekerja sebagai pemandu bot di Pulau Perhentian pada hujung minggu dan cuti sekolah.

Mengulas lanjut, Faizul memaklumkan, beliau selaku ketua unit dibantu oleh empat guru lain iaitu Azriwati Shadzul Bakri , Wan Zul Asri, Rohaya Husin dan Zurawati Abu Bakar.

“Memang terbaik, sebuah sekolah harian biasa di perkampungan nelayan sememangnya hebat dan berbakat luar biasa dan mendapat sokongan penuh guru-guru, Jabatan Pendidikan Daerah Besut dan pemimpin tempatan dalam usaha merealisasikan impian agar sentiasa hebat dalam kurikulum dan juga kokurikulum.

Pertandingan selama enam jam sejak jam 9 pagi berlangsung di sekolah itu dan hanya disaksikan oleh sebahagian  guru-guru yang berkaitan sahaja kerana mengikut SOP.

Untuk rekod, sekolah tersebut pernah dinobatkan sebagai juara dunia dalam pertandingan Kempen Kesedaran Nuklear “Third International Conference on Human Resource Development for Nuclear Power Programmes: Meeting Challenges to Ensure the Future Nuclear Workforce Capability” yang berlangsung di Korea Selatan, pada 2018.- KitaReporters