• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Sogok Pengundi : 130 NGO Gesa SPRM Siasat Zahid

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - 130 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam di bawah Sekretariat Ummah menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan segera terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa menyuburkan amalan rasuah.

Pengerusi Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI), Wan Faizul Wan Abas berkata SPRM perlu bertindak dan jangan mengamalkan sikap pilih kasih kerana tindakan Timbalan Perdana Menteri tersebut cuba menyogok belia bagi memastikan kemenangan parti pemerintah dalam pilihan raya pada 12 Ogos nanti merupakan satu kesalahan.

"Apa yang kami laporkan hari ini kepada SPRM mengenai ucapan Presiden UMNO ketika program  Himpunan Belia Lestari Generasi Ungggul (LesGU) sempena program sentuhan Kasih di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) di mana beliau dengan jelas menyogok belia.

"Dengan mengumumkan peruntukan geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), dan RM250,000 untuk Majlis Belia Negeri Terengganu serta RM200,000 untuk pasukan bermotosikal dan berjanji bantuan itu akan ditambah jika belia membantu parti pemerintah menang.

"Ini jelas adalah satu bentuk sogokan yang berlaku secara terang-terangan oleh parti pemerintah dan kita meminta pihak SPRM menyiasat dengan setelus-telusnya dan sebera segera perkara ini supaya rakyat diberikan hak yang sepatutnya dalam menentukan pemerintah secara demokrasi yang adil," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas membuat laporan kepada SPRM atas kes rasuah Zahid Hamidi, di Ibu Pejabat SPRM Terengganu, di sini, hari ini.

Tegas Wan Faizul, tindakan Zahid itu merupakan satu kesalahan besar kerana pemberian itu diumumkan pada 21 Julai dan berkemungkinan bersabit dengan kesalahan di bawah Seksyen 16 (b) Akta SPRM 2009.

"Iaitu menawarkan atau menyogok serta boleh disabitkanjuga dengan Seksyen 23 kerana menyalahgunakan kuasa.

"Kami menyeru SPRM mengambil tindakan seberapa segera kerana kesalahan yang dilakukan ini tidak bermoral serta dilakukan secara awam dan terang-terangan sehingga tular di media sosial serta telah diketahui umum," ujarnya.

 


Tag: