• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Oleh : Safwan Syakir

KUALA NERUS, 22 Disember - Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukanlah satu pengakhiran buat pelajar tetapi ia adalah titik permulaan kepada dunia sebenar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Zaharudin Zahid berkata, justeru itu, ibu bapa perlu memberi  dorongan kepada pelajar yang ingin meneruskan pengajian mereka selepas menamatkan SPM.

“Sebagai ibu bapa, kita harus bersifat adil kepada anak-anak. Di usia remaja, mereka masih memerlukan dorongan dan sokongan kita.

“Ini bagi memastikan anak-anak kita sentiasa bersemangat untuk menempuh hari-hari mendatang yang penuh dengan cabaran di luar sana,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika Majlis Penutup Tuisyen Rakyat dan Motivasi Pelajar Peringkat Dun Bukit Tunggal yang diadakan selama empat hari bermula 18 sehingga 21 Disember 2023.

Program tersebut melibatkan seramai 141 orang peserta daripada SMK Bukit Tunggal dan SMK Kompleks Tembesu serta pelajar dari DUN Bukit Tunggal membabitkan tiga mata pelajaran iaitu Sejarah, Bahasa Melayu dan Matematik yang dikendalikan oleh guru-guru pakar.

Zaharudin turut berharap program pecutan akhir persediaan SPM itu dimanfaatkan sebaiknya dan dijadikan rangsangan motivasi untuk menempuh peperiksaan nanti.

"Buatlah bersungguh-sungguh dan tanamkan azam nak hadiahkan kejayaan SPM untuk ibubapa dan guru-guru sebagai memberikan kegembiraan buat mereka yang selama ini banyak berkorban untuk anak-anak semua.

‘’Pastikan ambil berat tentang solat, jangan tinggal atau lalai walau keadaan apapun, disitu letaknya kunci keberkatan hidup kita disamping usaha yang berterusan dan tidak mengabaikan aspek penjagaan kesihatan diri,’’ ujarnya.

Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada semua yang terlibat menjayakan program tersebut termasuk Jabatan Pendidikan Daerah Kuala Nerus, guru-guru, IMITS DUN, Pusat Khidmat, pakar motivasi serta ibu bapa yang sentiasa menyokong usaha itu.


Tag: