• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

SPRM Terengganu Sedia Bantu Syarikat Korporat Bebas Rasuah


Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pengurusan Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) di Darul Iman Training Centre (DITC) Teluk Kalong,
KEMAMAN, 11 Disember - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu bersedia membantu syarikat korporat di negeri ini menggunakan langkah asas bagi menyelamatkan organisasi daripada terlibat dengan rasuah selaras Akta SPRM (pindaan 2018) yang membabitkan peruntukan baharu Seksyen 17A.

Pengarahnya, Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya Mohd Zaki Hassan berkata, Seksyen 17(A) diluluskan pada sidang Dewan Negara pada Mac lalu yang akan dikuatkuasakan sepenuhnya menjelang 2020 juga membolehkan sesebuah syarikat bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perlakuan jenayah dan bukannya sivil sekiranya kakitangan bawahan melakukan kesalahan rasuah sama ada dengan atau tanpa disedari syarikat.

Katanya, pindaan itu dilakukan bertujuan menggalakkan perniagaan dan aktiviti komersial dijalankan dalam keadaan bebas rasuah.

"Contohnya kalau pegawai atau pengurus atas buat kesalahan atas kapasiti individu dan kalau kita boleh buktikan ia diluluskan oleh entiti (syarikat) itu sendiri maknanya kita boleh siasat mengikut Seksyen 17A Akta SPRM 2009.

"Ia adalah liabiliti korporat, maknanya syarikat pun kena tanggunglah. Sebelum ini syarikat tidak dipertanggungjawabkan atas kesalahan individu iaitu kalau misalnya pengurus, pengurus kanan dan sebagainya terlibat dalam rasuah, kita tuduh atas kapasiti individu dan syarikat tidak dituduh," katanya.

Mohd Zaki Hassan

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pengurusan Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) di Darul Iman Training Centre (DITC) Teluk Kalong, di sini, semalam.

Mohd Zaki berkata, Seksyen 17A Akta SPRM 2009 bertujuan menggalakkan syarikat-syarikat korporat untuk menolak dan menghapuskan budaya rasuah kerana rasuah boleh muncul dalam pelbagai bentuk termasuk hiburan dan apa sahaja yang bertujuan melindungi bisnes atau projek.     


Menurut Mohd Zaki, SPRM di Terengganu akan mengambil langkah untuk membantu, menerangkan inisiatif dan langkah pencegahan yang boleh diambil sesebuah organisasi bagi mengelak mereka dikenakan tindakan undang-undang liabiliti korporat atas kesalahan rasuah kerana sudah tiba masa korporat dan syarikat swasta lebih berhati-hati dalam menjalankan urusan masing-masing.

"Kita akan membantu macam mana untuk siap sediakan syarikat korporat ini dengan satu pelan atau rangka yang boleh menyelamatkan syarikat-syarikat daripada terlibat dengan rasuah seperti 'no gift policy' dan sebagainya supaya perkara berkenaan boleh dicegah di peringkat syarikat lagi," katanya.

Tag: