• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

SRIDI AMBS, Pilot Project Kawasan Luar Bandar

Salah seorang murid Tahun 1 yang mendaftar di SRIDI AMBS kelmarin.
Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 28 Disember - Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun menjadi 'pilot project' Kerajaan Terengganu dalam usaha memperkasakan pendidikan Islam luar bandar.

Penolong Pesuruhjaya Visa Pelajar dan Akademik Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), Mohd Al-Hafiz Karim berkata, adalah tidak pelik jika jumlah pelajar tidak mencapai sasaran pada peringkat permulaan.

"Untuk SRIDI AMBS, yang berdaftar seramai 20 orang lebih. Hanya satu kelas dan kita jangkakan tahun hadapan akan ada pertambahan.

"Harapan saya dengan projek ini, masyarakat di sini dapat terus memberi kepercayaan kepada kerajaan negeri dalam memberikan pendidikan asas terutamanya pendidikan agama Islam bermula usia kanak-kanak," ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberi taklimat pendaftaran SRIDI AMBS kelmarin.

Katanya, di antara faktor kekurangan murid itu mungkin disebabkan ibu bapa belum mengenali bagaimana perjalanan akademik dan kurikulum di SRIDI.

Sementara itu, Pengawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, yuran yang dikenakan amat berpatutan.


Tambah Ghazali, beliau mengharapkan SRIDI akan mendapat sambutan yang lebih baik dari masa ke masa.

Dalam tumpuan sama, Mudir SRIDI Dungun, Ahmad Mahzor Abdul Kadir memberitahu, kuantiti murid yang sedikit tidak akan mengurangkan kualiti guru untuk memberi perkhidmatan yang terbaik.

"Seramai lapan orang guru bersemangat menjadi seorang pendidik yang cemerlang di sini. Kita akan cuba merealisasikan harapan ibu bapa supaya anak-anak mendapat pendidikan yang terbaik," tegasnya.

Tag: