• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

SRIDI Chukai Dibuka Tahun Depan

KUALA TERENGGANU, 18 Jun - Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bakal membuka sebuah lagi Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai mulai Januari tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, ia menjadikan tambahan kepada sembilan buah SRIDI dan satu buah Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) yang sudah berjaya ditubuhkan sehingga kini.

"Bagi mengekalkan kecemerlangan sedia ada dan ke arah yang lebih baik, pihak kerajaan memaksimakan manfaat kepada rakyat di samping perkara-perkara yang menjadi keperluan untuk mencapai hasrat dan matlamat kita ke arah tahun 2030.

"Antara manifesto yang kita hasratkan adalah untuk mewujudkan sekolah rendah di setiap DUN iaitu SRIDI. Pada awal tahun hadapan insya-Allah sebuah lagi sekolah ini akan dibuka di daerah Chukai, Kemaman," katanya ketika bersiaran secara langsung di Tv Darul Iman menerusi slot 'Bicara Isu Semasa' sempena Munajat Rakyat Terengganu, semalam.

Turut ditampilkan khas dalam slot tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pembangunan Modal Insan negeri, Mohd Nor Hamzah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Sementara itu, menurut Satiful, kerajaan negeri juga sedang melengkapkan lagi manifesto berkenaan dengan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) pula sedang dalam proses kerja-kerja pembinaan tapak.

"SMIDI masih lagi dlm proses persiapan tapak kolej di Ajil yang dimiliki Lembaga Tabung Amanah Warisan Terengganu untuk proses melengkapkan infratruktur di SMIDI.

"Pelajar-pelajar SMIDI yang ditempatkan di bangunan Yayasan Terengganu di Bukit Besi  sebelum ini akan berpindah di kampus tetap mereka selepas ia siap," jelasnya.

Untuk rekod, antara SRIDI yang berjaya ditubuhkan pada 2020 adalah SRIDI Paka, SRIDI Kijal dan SRIDI Permaisuri ditambah dengan enam SRIDI di kawasan DUN Buluh Gading, Bandar, Ajil, Kota Putera, Bukit Besi dan Pengkalan Berangan pada tahun 2019.

Manakala bagi SMIDI yang berjaya ditubuhkan pada tahun 2020 adalah SMIDI di daerah Dungun.


Tag: